Hampir 130 kenderaan yang dibatalkan pendaftarannya, telah disita untuk siasatan dalam operasi sembilan hari bagi mempertingkat penguatkuasaan terhadap pemilikan kenderaan sedemikian secara haram.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 20 November berkata 126 kenderaan disita dalam operasi dari 11 hingga 19 November.

Operasi itu menyusuli siasatan dari Januari hingga Oktober yang menyaksikan 440 kenderaan disita.

Jumlah itu hampir empat kali ganda purata tahunan 120 kenderaan yang dikesan sepanjang tiga tahun lalu.

Menurut LTA, peningkatan kes pada 2026 berpunca daripada kesalahan yang semakin berleluasa serta pengesanan dan penguatkuasaan yang dipertingkat.

LTA akan meneruskan kerjasama dengan polis serta menggunakan kamera jalan raya dan sistem Bayaran Elektronik Jalan Raya berteraskan satelit (ERP 2.0) bagi memperkukuh penguatkuasaan.

Hukuman bagi pemilikan dan penggunaan kenderaan sedemikian diperketat sejak 27 Februari.

Pesalah kali pertama boleh didenda sehingga $20,000, dipenjara hingga dua tahun atau kedua-duanya, berbanding $2,000 dan tiga bulan penjara sebelum ini.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Pesalah berulang boleh dikenakan hukuman dua kali ganda.

Kenderaan tersebut membahayakan pengguna jalan raya kerana tiada insurans sah dan mungkin tidak selamat dipandu.

Sebelum ini Menteri Negara bagi Pengangkutan, Encik Baey Yam Keng, pada 7 Oktober berkata walaupun lebih 99 peratus dilupuskan dengan betul, sekitar 1,900 kenderaan tidak dilupuskan sewajarnya sepanjang lima tahun lalu.

Sebahagiannya dikaitkan dengan pengedaran dadah. Jumlah yang dikesan di jalan raya meningkat daripada 75 pada 2024 kepada 245 pada 2025.

Peraturan lebih ketat diperkenalkan bagi memastikan pelupusan kenderaan selepas pembatalan pendaftaran.

Skim Pengeksport Bertauliah yang dijangka dirangka pada suku keempat 2027 turut membantu menangani masalah itu.

Di bawah skim tersebut, kenderaan eksport mesti diserahkan kepada pengeksport yang diluluskan LTA, bukan diurus sendiri atau melalui pengedar dan perkhidmatan kargo.

Penyerahan kenderaan diwajibkan dalam 14 hari selepas pembatalan pendaftaran, berbanding sebulan sekarang.

Pengeksport juga mesti mematuhi peraturan penyimpanan dan pengendalian kenderaan.

Beberapa kejadian sejak beberapa bulan lalu melibatkan kenderaan yang dibatalkan pendaftarannya.

Pada 29 Oktober, seorang pemandu motosikal dan isterinya yang hamil, kedua-duanya berusia 24 tahun, maut dalam satu kemalangan dipercayai melibatkan kenderaan yang dibatalkan pendaftarannya. Anak lelaki mereka yang berusia enam tahun kini dijaga ahli keluarga.

Pemandu yang melarikan diri menghadapi sembilan tuduhan, termasuk menggunakan kenderaan tersebut dan nombor pendaftaran palsu.

Pada 19 November, dua lelaki didakwa menyimpan kenderaan sedemikian dan membuat pengisytiharan palsu.

Pada 20 November, Mohd Amin Ungku Ismail, 63 tahun, didakwa atas 49 kejadian antara 2024 dengan 2025 yang melibatkan penggunaan kenderaan yang dibatalkan pendaftarannya, dengan nombor pendaftaran palsu serta tanpa lesen kenderaan dan insurans yang sah.

LTA mengingatkan pemilik supaya memastikan pelupusan betul dan memindahkan hak milik sebelum pembatalan pendaftaran bagi urusan tukar beli.

Pemilik berdaftar terakhir tetap bertanggungjawab terhadap pelupusan dan penyerahan dokumen kepada LTA jika menggunakan pengedar eksport.

LTA akan menyiasat semua pihak, termasuk pemilik terakhir dan pengeksport, jika berlaku penyalahgunaan atau pemalsuan dokumen.

Orang ramai boleh melaporkan kenderaan mencurigakan melalui OneMotoring atau aplikasi OneService.