Lelaki bawa masuk lebih 800 vape dipenjara 14 minggu
Seorang lelaki bersetuju bekerja sebagai pemandu penghantaran untuk membawa masuk vape ke Singapura demi mendapatkan wang, walaupun mengetahui vape adalah haram di Singapura.
Lim Teck Wee, 20 tahun, dijatuhi hukuman penjara 14 minggu pada 22 Januari, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan membawa masak vape ke Singapura.
Memandangkan Lim, seorang warga Malaysia, kerap berulang-alik ke Singapura untuk bekerja sebagai juruelektrik bebas, dia memutuskan untuk menghantar barangan terlarang itu selepas menemui satu iklan pada Oktober 2025.
Iklan tersebut menjanjikan bayaran antara RM1,000 ($318) dengan RM2,000 bagi setiap tugasan.
Apabila Lim membalas iklan tersebut, dia dimaklumkan kerja penghantaran itu melibatkan membawa masuk vape dan komponen berkaitan ke Singapura.
Walaupun mengetahui vape adalah haram di Singapura, Lim tetap menerima tawaran kerja itu kerana dia memerlukan wang.
Pada minggu kedua Oktober 2025, Lim membawa masuk vape ke Singapura sebanyak dua kali dan memperoleh pendapatan keseluruhan sebanyak RM3,040.
Dia ditahan pada bulan berikutnya (November) di Pusat Pemeriksaan Woodlands, apabila pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) memeriksa kenderaan yang dipandunya dari Mount Austin di Johor Bahru.
Pemeriksaan tersebut menemukan 870 unit vape pakai buang, selain barangan lain yang berkaitan dengan vape.
Dalam menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Lim Tse Haw, berkata hukuman berbentuk pencegahan adalah wajar berikutan kemudaratan vape terhadap kesihatan awam.
Mereka yang didapati bersalah membawa masuk vape ke Singapura boleh didenda sehingga $10,000, dipenjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

