Lebih 3,500 ditangkap milik, guna vape dalam 4 bulan terakhir 2025
Lebih 3,500 ditangkap milik, guna vape dalam 4 bulan terakhir 2025
Sebanyak 3,534 orang telah ditangkap dan dikenakan denda kerana memiliki dan menggunakan vape dalam operasi pencegahan vape pada empat bulan terakhir 2025.
Daripada jumlah tersebut, 3,168 adalah pesalah vape manakala 366 lagi adalah pengguna Kpod (etomidate), kata Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam satu kenyataan bersama pada 29 Januari.
Operasi tersebut dijalankan selama empat bulan bermula 1 September 2025, apabila langkah pencegahan vape yang baru mula berkuat kuasa.
Sebanyak 268 pesalah telah dimasukkan ke dalam program pemulihan, kata MOH dan HSA.
Daripada jumlah itu, 211 adalah pengguna Kpod dan 57 lagi adalah pesalah berulang yang ditangkap kerana memiliki vape.
Kpod adalah peranti vape yang dicampurkan dengan bahan etomidate.
Lapan orang telah menamatkan program pemulihan mereka pada 31 Disember 2025, kata pihak berkuasa.
Tujuh daripada mereka telah ditangkap atas kesalahan berkaitan etomidate dan seorang adalah pesalah vape berulang.
MOH dan HSA menambah bahawa 15 orang gagal menghadiri janji temu pemulihan pertama mereka.
Empat daripada mereka telah didakwa di mahkamah, manakala yang lain sedang menunggu siasatan lanjut atau pendakwaan.
Sepanjang empat bulan tersebut, 10 orang telah didakwa kerana dipercayai terlibat dalam pengedaran kapsul vape etomidate.
Lebih 41,000 vape dan bahagian berkaitan vape telah dirampas di sekatan-sekatan jalan raya di seluruh Singapura dalam empat bulan tersebut, dedah MOH dan HSA.
Pada masa yang sama, lebih 4,300 kes aktiviti vape telah dilaporkan melalui talian dan borang laporan HSA, tambah mereka.
HSA telah menghapuskan lebih 1,070 iklan vape dalam talian, laman web yang melanggar undang-undang, dan kumpulan di Telegram.
Agensi itu mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas kewaspadaan mereka dan menggalakkan orang ramai supaya terus memberikan “maklumat terperinci apabila membuat laporan” kepada pihak berkuasa.
“Pemerintah terus memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan bantuan untuk berhenti menggunakan vape,” kata MOH dan HSA.
Mereka yang ingin berhenti menggunakan vape boleh menyertai program QuitVape atau menghubungi ‘QuitLine’ Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) di 1800-438-2000.
Mereka yang secara sukarela meminta bantuan tidak akan dikenakan sebarang hukuman, atau mempunyai rekod kesalahan kerana tampil ke hadapan, kata MOH dan HSA.
Namun, mereka yang ditangkap kerana menggunakan vape dalam insiden berasingan akan dikenakan hukuman mengikut undang-undang yang relevan dan rekod kesalahan mereka akan dicatat.
Singapura telah meningkatkan penguatkuasaan terhadap penggunaan vape.
Langkah baru yang dilaksanakan pada 1 September 2025 termasuk denda yang lebih berat untuk pembekal, pengedar dan pengguna vape, serta pemulihan wajib untuk pengguna vape dan etomidate.
Jika didakwa, pesalah Kpod boleh dikenakan denda sehingga $10,000, dipenjarakan sehingga dua tahun, atau kedua-duanya.
Pesalah vape boleh dikenakan denda sehingga $2,000.
Mereka yang gagal menghadiri atau menyelesaikan program pemulihan akan didakwa di mahkamah.
Seorang wanita berusia 23 tahun adalah orang pertama yang didakwa oleh HSA kerana kesalahan berkaitan vape selepas gagal menghadiri program pemulihan.
Dia disabitkan pada 6 Januari atas kesalahan berkaitan etomidate dan dijatuhkan hukuman penjara selama seminggu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pengiklanan haram, pengimportan, pengedaran, penjualan atau pemilikan vape boleh menghubungi HSA melalui borang laporan dalam talian atau menghubungi Cawangan Pengawalan Tembakau di talian 6684-2036 atau 6684-2037.

