Susulan satu operasi di kasino Marina Bay Sands (MBS), 14 orang ditahan kerana didakwa menyediakan perkhidmatan tidak berlesen seperti membeli dan menjual cip kasino kepada pelanggan.
Seramai 13 daripada mereka merupakan warga China yang didakwa pada 7 September dengan satu tuduhan masing-masing menyediakan perkhidmatan pembayaran haram.
Pada 6 September, polis berkata 24 orang berusia antara 27 dengan 58 tahun disiasat susulan operasi pada 5 dan 6 September.
Operasi itu dipimpin oleh Divisyen Polis Central dan disokong oleh pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Ehwal Komersial dan kakitangan MBS.
Mereka yang disiasat, terdiri daripada 17 lelaki dan tujuh wanita, didakwa menyediakan perkhidmatan tidak berlesen yang juga termasuk pertukaran mata wang asing dan pengiriman wang.
Semasa operasi itu, wang tunai dan cip kasino bernilai lebih $190,000 serta beberapa peranti elektronik telah dirampas, kata polis.
Mereka yang didakwa pada 7 September ialah Li Shaozhuang, 33 tahun; Liu Jie, 32 tahun; Ouyang Peng, 32 tahun; Guan Xianchi, 27 tahun; Zhang Jie, 43 tahun; Song Yang, 40 tahun; Zhu Xiaomei, 58 tahun; Li Jia Wei, 41 tahun; Xiong Chuanwei, 41 tahun; Luo Saihua, 49 tahun; Xu Min, 38 tahun; Hou Bo, 43 tahun; dan Zhang Xiaoguang, 30 tahun.
Menurut dokumen mahkamah, mereka didakwa menawarkan mata wang Singapura sebagai pertukaran bagi yuan China, atau sebaliknya, secara haram.
Kes mereka akan didengar lagi di mahkamah pada 13 September.
Jika sabit kesalahan menjalankan perniagaan menyediakan perkhidmatan pembayaran tanpa lesen, mereka boleh didenda hingga $125,000, dipenjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg