Pusat Penuaan Aktif (AAC) terbaru daripada tiga pusat sedemikian di Bukit Panjang dijangka melibatkan hingga 1,300 warga emas, yang boleh menikmati sesi senaman dan kegiatan seni dalam persekitaran indah.
AAC di 406 Fajar Road yang terletak berhampiran kolam yang popular dalam kalangan penduduk di sekitar kawasan tersebut, dikendalikan oleh Khidmat Masyarakat Fei Yue.
Sejak mula beroperasi pada April 2024, ia telah melibatkan lebih 600 warga emas, lapor The Straits Times.
Semasa perasmiannya pada 13 Februari, Anggota Parlimen (AP) Bukit Panjang, Encik Liang Eng Hwa, berkata AAC keempat di Bukit Panjang, di Pasar Bangkit, sedang dalam perancangan.
Sebuah pusat jagaan warga emas baru juga akan dibuka di 422 Fajar Road.
Pada masa ini, kira-kira seorang daripada lima penduduk di kawasan undi itu berusia lebih 60 tahun, dan angka itu dijangka mencecah satu perempat pada tahun mendatang.
Encik Liang berkata Bukit Panjang menghadapi “masalah penuaan berkembar”, memandangkan kedua-dua estet itu dan penduduknya, semakin tua.
Menurutnya, usaha telah dilakukan untuk menyuntik kesegaran pada prasarana estet itu – yang terdapat flat berusia hingga 40 tahun.
Di samping itu, usaha turut dijalankan bagi membantu warga emas menua dengan baik.
“Dalam masyarakat kita, adalah penting untuk terus mewujudkan ruang bagi membolehkan warga emas kita berkembang maju dan memainkan peranan aktif dalam masyarakat.
“AAC ini mencerminkan tanggungjawab kolektif kita dalam memastikan warga emas kita bukan sahaja hidup dengan baik, malah berasa dihargai,” kata Encik Liang.
Menteri Negara (Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, turut menghadiri perasmian AAC itu.
Menjelang 2030, satu perempat warga Singapura akan berumur 65 tahun ke atas, meningkat daripada satu perenam sekarang.
Di tengah-tengah gelombang penuaan yang akan berlaku itu, pemerintah telah menetapkan matlamat mempunyai 220 AAC menjelang 2025, supaya lapan daripada 10 penduduk akan mempunyai pusat sedemikian berhampiran rumah mereka.
Sehingga November 2024, kini terdapat 214 AAC.
Satu tawaran unik di AAC baru di 406 Fajar Road itu ialah sesi senaman khas yang direka khusus untuk lelaki, dibimbing syarikat kesihatan, Anytime Fitness.
Seorang peserta tetapnya ialah Encik Tan Pang Swee, 73 tahun, yang berkata beliau telah melihat peningkatan dari segi fizikal dan sosialnya selepas menghadiri sesi tersebut.
Beliau mula menghadiri sesi itu kerana ingin mencari lebih ramai kawan.
“Bukan hanya badan saya yang terasa lebih sihat, malah fikiran saya juga.
“Ia cara yang baik untuk mengenali lelaki lain dalam masyarakat yang berada di tahap kehidupan yang sama,” kata Encik Tan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg