Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hab baru di One Holland Village sumber motivasi belia berkeperluan khas, warga emas

Feb 11, 2025 | 10:33 PM
Presiden Tharman Shanmugaratnam bersama benefisiari dari badan A Good Place di One Holland Village pada 11 Februari.
Presiden Tharman Shanmugaratnam bersama benefisiari dari badan A Good Place di One Holland Village pada 11 Februari. - Foto ST

Sebuah hab baru di One Holland Village akan menyelidik beberapa kaedah terapi baru dalam membantu belia berkeperluan khas bertenang semasa menghadapi krisis.

Dinamakan ‘A Good Place’, hab tersebut dikendalikan Perkhidmatan Masyarakat Presbyterian (PCS) dan menelan belanja sekitar $2 juta di samping menjangkau keluasan lebih 1,000 meter persegi.

Hab berkenaan memberi tumpuan kepada usaha menyokong belia istimewa serta warga emas dan merupakan kemudahan terbesar PCS setakat ini.

Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis perasmian ‘A Good Place’ pada 11 Februari, berkata usaha PCS adalah contoh yang baik bagaimana “kebaikan melahirkan kebaikan”.

“Ia bermula sebagai sebuah tajaka, dan sebagai tempat untuk warga emas berkumpul pada waktu petang dan hujung minggu. Ia kemudian berkembang.

“Bilangan sukarelawan bertambah, dan kini (PCS) ialah sebuah agensi perkhidmatan sosial berskala penuh yang mengendalikan 16 pusat prasekolah, ditambah dengan pelbagai perkhidmatan lain, untuk individu berkeperluan khas dan warga emas khususnya,” kata Tuan Presiden.

Beliau menambah PCS adalah contoh sebuah pertubuhan yang dibina berdasarkan kepercayaan tertentu, namun komited untuk berkhidmat kepada semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Majlis perasmian tersebut dihadiri kira-kira 200 tetamu termasuk penderma, sukarelawan, rakan kongsi dan kakitangan PCS, dan diadakan bagi meraikan 50 tahun perkhidmatan PCS.

Ia turut menandakan perubahan namanya daripada Perkhidmatan Masyarakat Presbyterian kepada Perkhidmatan Sosial Masyarakat Presbyterian, untuk mencerminkan peranan agensi secara lebih baik.

Penyelidikan yang dijalankan dengan kerjasama Universiti Newcastle yang berpangkalan di Britain, akan merangkumi penggunaan bilik di mana suhu ditetapkan pada 15 darjah Celsius.

Pada suhu ini, perkembangan otak individu akan menunjukkan prestasi yang lebih baik kerana kepekatan oksigen lebih tinggi dalam persekitaran yang lebih sejuk.

Di dalam bilik sejuk, jurulatih akan mencipta bunyi menggunakan mangkuk kristal yang direka khas untuk membantu menenangkan belia.

Pengerusi PCS, Encik Jonathan Kok, berkata ‘A Good Place’ diwujudkan sebagai sebuah hab masyarakat dalam membantu rakan kongsi melengkapkan dan memperkasakan mereka yang berkeperluan khas serta warga emas.

Ini termasuk dengan menawarkan mereka akses kepada perkhidmatan pengayaan bermutu tinggi, pada kadar yang lebih berpatutan, berbanding pilihan komersial.

“Kami mahu ‘A Good Place’ menjadi tempat di mana individu dan keluarga boleh menemui harapan, penyembuhan dan sokongan, tempat di mana mereka boleh berkembang maju dan mencapai potensi penuh mereka,” kata Encik Kok.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg