14 ditahan di Hougang atas kesalahan imigresen, lindung pendatang asing
14 ditahan di Hougang atas kesalahan imigresen, lindung pendatang asing
Seramai 14 individu ditahan atas kesalahan imigresen dan melindungi pendatang asing dalam satu operasi penguatkuasaan di Hougang pada 3 Mac.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam kenyataan pada 4 Mac, mengesahkan penahanan 13 warga India – seramai 11 lelaki dan dua wanita, berusia 19 hingga 44 tahun – yang didapati melanggar syarat lawatan dengan tinggal lebih masa selepas pas mereka tamat.
Seorang lagi warga India berusia 26 tahun, yang menyediakan tempat tinggal kepada pesalah itu, turut dicekup.
Siasatan ICA masih berjalan.
Di bawah undang-undang Singapura, pesalah imigresen yang tinggal melebihi masa yang sepatutnya, berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan, disebat sekurang-kurangnya tiga kali, atau denda sehingga $6,000.
Mereka juga akan diusir dan dilarang memasuki Singapura semula selepas hukuman dijatuhkan atau denda dibayar.
Individu yang ditangkap kerana sengaja atau cuai melindungi pesalah imigresen boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda sehingga $6,000.
Bagi mereka yang ditangkap kerana cuai melindungi individu yang tinggal melebihi masa, hukumannya adalah penjara sehingga 12 bulan, denda sehingga $6,000, atau kedua-duanya.
ICA mengingatkan pemilik premis yang berhasrat menyewakan tempat mereka agar sentiasa menyemak status imigresen bakal penyewa warga asing bagi memastikan penginapan mereka di Singapura adalah sah.
Ini termasuk memeriksa pas imigresen atau pas kerja asal penyewa, mengesahkan kesahihannya dengan pihak berkuasa yang mengeluarkan pas, serta membandingkan maklumat pada pas dengan maklumat dalam pasport asal penyewa.

