Topik diikuti
Pergi ke BHku140 peserta cilik timba ilmu bola sepak, bina persahabatan di Kem BH-Singa Legends
140 peserta cilik timba ilmu bola sepak, bina persahabatan di Kem BH-Singa Legends
Dikelilingi pemain pertahanan, Muhammad Aryan Rifqi Roslee mengawal bola dengan pandangan tertumpu ke arah pintu gol.
Kanak-kanak berusia 11 tahun itu kekal tenang, mendongak kepalanya lalu bertindak seolah-olah mahu melepaskan rembatan.
Namun, Aryan Rifqi menghasilkan hantaran deras yang tepat kepada rakan sepasukan yang tidak dikawal, untuk menjaringkan gol yang amat bergaya.
Aryan Rifqi merupakan antara 140 peserta kanak-kanak yang masing-masing mencipta detik tumpuan tersendiri sepanjang Kem Bola Sepak Berita Harian (BH)-Singa Legends pada 25 November.
Kem selama dua hari itu memberi peluang kepada kanak-kanak berusia antara tujuh dengan 13 tahun untuk mengasah kemahiran bola sepak mereka bersama barisan legenda bola sepak Singapura.
Antara bekas pemain negara yang terlibat ialah Fandi Ahmad, Abbas Saad, Samad Allapitchay, Abdullah Noor, Noor Ali, Nazri Nasir, Rafi Ali dan Baihakki Khaizan, yang berkongsi pengalaman serta membimbing peserta sepanjang kem tersebut.
Kerjasama itu merupakan sebahagian usaha BH untuk mendekati masyarakat melalui kegiatan yang memberi manfaat, khususnya kepada generasi muda, sempena sambutan BH70 yang bertema, ‘Kisah Kita’, pada 1 Julai 2027.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, turun padang untuk menyertai aksi pada hari kedua kem tersebut di Our Tampines Hub (OTH).
Encik Zaqy berinteraksi bersama ibu bapa yang hadir, malah menyertai sesi latihan dan mempamerkan kemahirannya.
Beberapa ibu bapa dan kanak-kanak yang ditemui BH pada 25 November meluahkan rasa gembira dapat meraih pelbagai manfaat dan kenangan manis daripada kem itu.
Bagi Aryan Rifqi, dia amat teruja untuk menghadiri kem tersebut setelah menyertai kem Singa Legends yang pertama pada September lalu.
Aryan Rifqi, seorang pemain di Akademi Bola Sepak Geylang International, merupakan anak sulung daripada tiga beradik.
Ibu Aryan Rifqi, Cik Juliana Mohamed, 38 tahun, turut turun padang bersama anak keduanya, Ariana Rose Roslee, untuk memberikan sokongan kepada anaknya itu.
Cik Juliana berkata kem tersebut bukan sekadar mengasah bakat anaknya, malah membina keyakinannya itu untuk bertemu dengan kanak-kanak lain.
Aryan Rifqi sudah membuat empat kawan baru di kem tersebut, dan masih menghubungi rakan-rakan yang ditemui semasa kem yang pertama.
“Sebelum ini, Aryan Rifqi tak selalu dapat buat kawan baru, saya rasa kem-kem ini mendedahkannya kepada kanak-kanak berbeza dan bina keyakinannya,” kata Cik Juliana.
Sentimen itu dikongsi oleh Encik Nur Azmy Muhammad, berusia 43 tahun.
Beliau mendaftarkan anaknya, Alif Azhar, supaya dapat bertemu dengan rakan baru, menerima lebih pendedahan dan mengasah bakatnya.
Malah, Encik Nur Azmy percaya kem itu turut menjadi peluang baik bagi anaknya belajar mengawal emosi dengan lebih matang dalam situasi yang mencabar, setelah bermain bola sepak selama beberapa tahun.
Sementara itu, pasangan suami isteri, Encik Hairul Sulaiman, 54 tahun, dan Cik Hairiani Muhamed, 44 tahun, amat gembira dapat mendaftarkan anak mereka bagi kem tersebut.
Ini setelah anak tunggal mereka, Muhammad Hanif, 10 tahun, tidak berpeluang menyertai kem Singa Legends yang pertama.
“Kami menggalakkan anak kami menyertai kem seperti ini kerana ia juga menjadi wadah bermanfaat untuknya mengurangkan masa menghadap skrin, lebih-lebih lagi pada musim cuti sekolah,” kata Encik Hairul.
Pasangan itu, yang mengikuti perkembangan bola sepak nasional sejak 1990-an, berkongsi kegembiraan bersama anak mereka apabila berpeluang bertemu dengan bintang seperti Fandi Ahmad dan Abbas Saad.