Kira-kira 14,000 rumah baru akan dibina di Sembawang North dan Woodlands North Coast pada 2025, untuk membantu memenuhi permintaan perumahan berterusan rakyat Singapura, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.
Mengumumkan rancangan itu pada Majlis Anugerah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 22 Oktober, Encik Lee berkata projek-projek tersebut sebahagian usaha pemerintah menyediakan bekalan rumah mampu milik yang cukup besar untuk rakyat Singapura yang ingin tinggal di kawasan utara.
“Bagi Sembawang North, kira-kira 10,000 rumah baru sudah dirancang untuk dibina di kawasan baru ini, dengan kira-kira 8,000 rumah diperuntukkan untuk perumahan awam. Projek HDB pertama di Sembawang North akan dilancarkan tahun depan (2025).
“Seterusnya, Woodlands North Coast akan menawarkan lebih 4,000 flat baru. Projek pertama juga dijadualkan dilancarkan tahun depan (2025),” ujar Encik Lee.
Beliau berkata penduduk yang bakal tinggal di Sembawang North boleh menjangka pusat kejiranan baru di tengah-tengah kawasan perumahan dengan pelbagai pilihan runcit dan tempat makan.
Terdapat juga rancangan membina taman seluas satu hektar dengan kemudahan riadah seperti taman permainan bagi memeriahkan ruang luar.
Menurut HDB, kawasan Sembawang North, dengan tapak seluas 53 hektar, akan menyediakan kira-kira 8,000 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dan 2,000 unit rumah privet.
Projek BTO di Sembawang North juga akan menampilkan elemen reka bentuk seperti susun atur halaman, bumbung bernada, dan corak geometri menarik yang mendapat inspirasi daripada banglo kolonial.
Unsur nautika juga akan disepadukan ke dalam struktur jalan, struktur permainan, landskap dan penurapan, serta papan tanda penunjuk arah di Sembawang North, untuk mewujudkan ruang masyarakat yang mencerminkan sejarah unik kawasan itu, kata HDB.
Bagi Woodlands North Coast, Encik Lee berkata penduduk boleh menantikan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura yang dijangka siap hujung 2026.
Projek BTO pertama di Woodlands North Coast akan dilancarkan pada Februari 2025, dan projek selebihnya akan dilancarkan secara berperingkat pada tahun-tahun akan datang. Setelah siap, ia akan menghasilkan kira-kira 4,000 rumah baru di kawasan seluas 21 hektar, kata HDB.
Penduduk Woodlands North Coast juga akan meraih manfaat daripada akses mudah ke stesen MRT Woodlands dan kemudahan sedia ada di Woodlands Central.
Dalam ucapannya, Encik Lee mengulangi komitmen pemerintah untuk memastikan flat HDB kekal mampu milik dan boleh diakses oleh semua rakyat Singapura.
Ini termasuk usaha seperti pengenalan kategori Pemohon Kali Pertama (Ibu bapa dan Pasangan Suami Isteri), flat Masa Tunggu Lebih Singkat (SWT), Skim Perumahan Sementara Keibubapaan (PPHS) dan meningkatkan Geran Perumahan CPF Dipertingkat untuk keluarga yang layak.
“Langkah-langkah ini, serta banyak lagi yang telah kami lakukan baru-baru ini, akan terus membantu memastikan rakyat Singapura kekal sebagai sebuah negara pemilik rumah,” kata Encik Lee.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg