Flat fleksi dua bilik menyaksikan permintaan yang menggalakkan daripada pembeli rumah bujang kali pertama dalam penjualan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Oktober, dengan sekitar 20 pemohon bagi setiap flat yang ditawarkan.
Golongan bujang membentuk sebahagian besar lonjakan permohonan BTO itu, kata HDB, yang telah menerima hampir 28,200 permohonan merentasi semua jenis flat setakat 5 petang pada 21 Oktober.
Ia merupakan bilangan permohonan tertinggi sejak pelaksanaan BTO November 2022.
Dalam catatan Facebook pada 21 Oktober, HDB berkata ia jangkakan menerima kira-kira 35,000 hingga 40,000 permohonan pada masa jualan ditutup pada 11.59 malam pada 23 Oktober, iaitu kira-kira empat atau lima pemohon bagi setiap flat, lapor The Straits Times.
Pelancaran terbaru pada Oktober menyaksikan lebih 8,500 flat ditawarkan di bawah satu rangka kerja baru, yang mengklasifikasikan projek sebagai Standard, Plus atau Prime, berdasarkan faktor seperti berapa dekat flat itu kepada pusat bandar dan ketersambungan pengangkutan.
Unit BTO yang lebih dekat dengan kemudahan seperti stesen MRT dan pusat estet perumahan akan berada di bawah kategori Prime dan Plus, yang disertakan dengan syarat jualan semula yang lebih ketat seperti tempoh pendudukan minimum (MOP) 10 tahun dan pengambilan semula subsidi antara 6 peratus dengan 9 peratus.
Jualan Oktober juga menandakan kali pertama golongan bujang yang layak boleh memohon flat fleksi dua bilik di mana-mana lokasi.
Sebelum ini, pemohon daripada golongan bujang terhad kepada estet tidak matang.
HDB berkata di Facebook bahawa kebanyakan lonjakan dalam permohonan didorong permintaan terpendam daripada pemohon bujang kali pertama, yang permohonan mereka menyumbang kira-kira 20 peratus daripada jumlah keseluruhan setakat ini.
Ia jangkakan permintaan daripada bujang akan stabil dari masa ke masa apabila bekalan flat fleksi dua bilik meningkat.
HDB juga mengaitkan kadar permohonan yang lebih tinggi dalam pelaksanaan jualan Oktober itu berikutan bilangan tinggi flat BTO yang ditawarkan dan masa menunggu lebih singkat.
Sehingga 10 malam pada 21 Oktober, lebih 29 pemohon bersaing untuk setiap satu daripada 130 flat fleksi dua bilik di Bukit Batok, yang mempunyai masa menunggu paling singkat sekitar dua tahun.
Flat di Ang Mo Kio dan Pasir Ris juga popular dengan golongan bujang, dengan kadar permohonan hampir dengan kadar median 22.2 di semua projek.
Bagi pemohon keluarga kali pertama, kadar permohonan median untuk flat tiga bilik dan lebih besar ialah 2.1 – lebih tinggi sedikit daripada pelancaran Februari dan Jun 2024, kata HDB.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg