Jeritan beberapa wanita memecah kesunyian malam 8 November dalam satu serbuan yang dijalankan di kawasan Joo Chiat.
Ada yang cuba menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas, menyebabkan suasana tegang.
Demikian antara kejadian yang dilihat wartawan Berita Harian (BH) yang menyertai satu operasi penguatkuasaan pelbagai agensi yang diketuai pegawai dari Bahagian Polis Bedok dan disokong Polis Trafik, Unit Anjing Pengesan Polis (K9), Biro Narkotik Pusat (CNB), Penguasa Sains Kesihatan (HSA), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan Agensi Makanan Singapura (SFA).
Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan pada 13 November menyatakan 12 lelaki dan tiga wanita berusia antara 19 dengan 63 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi itu, termasuk bekerja tanpa permit kerja yang sah, memandu tanpa lesen, serta insurans yang tidak sah.
Ada juga yang didapati memiliki senjata dan disyaki menggunakan dan memiliki dadah terkawal, serta meminum arak sambil memandu.
Apabila pihak media tiba di lokasi pada 12 tengah malam, kebanyakan individu telah digari dan menunggu van polis tiba untuk membawa mereka ke balai polis.
Menurut pemerhatian wartawan, ramai wanita yang ditahan memakai pakaian pendek dan menjolok mata. Terdapat juga botol-botol arak dilihat bertaburan di bilik-bilik di mana mereka ditemui.
Teks ‘B1’, yang dipercayai ditulis dengan penanda hitam pada pita pelekat, boleh dilihat ditampal pada dada kiri salah satu pakaian wanita yang ditahan.
Dalam dua bilik lain, seorang lelaki dalam lingkungan usia 40-an, ditemui bersendirian dengan beg dari jenama mewah seperti Louis Vuitton.
Dari Joo Chiat Road, pihak media dibawa ke Onan Road sekitar sejam selepas operasi bermula.
Buat pertama kalinya, media dapat melihat operasi anjing K9 menjalankan pencarian atas kenderaan untuk mengesan dadah dalam kenderaan pesalah.
“Walaupun ketenteraman di kawasan Joo Chiat telah bertambah baik selama ini, ia kekal sebagai tempat tumpuan untuk hiburan awam.
“Sebarang pelanggaran peraturan pelesenan hiburan awam dan kegiatan yang menyalahi undang-undang akan ditangani dengan tegas oleh pihak polis,” kata jurucakap SPF.
Mereka yang didapati bersalah atas kesalahan bekerja tanpa permit kerja yang sah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga $20,000, atau kedua-duanya sekali.
Memandu ketika di bawah pengaruh alkohol adalah satu kesalahan yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang $2,000 dan tidak melebihi $10,000, atau penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Pesalah juga mungkin hilang kelayakan memandu semua kelas kenderaan.
Memandu atau membenarkan orang lain memandu kenderaan bermotor tanpa lesen memandu sah adalah kesalahan juga membawa hukuman denda sehingga $10,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pesalah berulang boleh dikenakan denda sehingga $20,000, penjara sehingga enam tahun, atau kedua-duanya sekali. Kenderaan juga boleh dirampas.
Menggunakan atau membenarkan orang lain lain menggunakan kenderaan bermotor tanpa perlindungan insurans adalah satu kesalahan dan pesalah boleh didenda sehingga $1,000, atau penjara sehingga tiga bulan, atau kededuanya sekali.
Penggunaan dan pengedaran dadah terkawal pula membawa hukuman denda sehingga $20,000, atau penjara tidak kurang daripada setahun tetapi tidak lebih daripada 10 tahun, atau kededuanya sekali.
Pesalah yang memiliki senjata dilarang boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 5 tahun dan sebatan rotan tidak kurang daripada 6 kali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg