Lelaki yang ditangkap kerana dipercayai menikam mulut seorang paderi telah didakwa menyebabkan kecederaan parah secara sengaja dengan senjata berbahaya.
Basnayake Keith Spencer, 37 tahun, hadir di Mahkamah Negara melalui pautan video pada 11 November 10.10 pagi.
Lelaki warga Singapura itu, yang memakai kemeja polo putih, dengan tangan digari, tidak diwakili.
Dia tidak menunjukkan sebarang perasaan semasa prosiding mahkamah apabila pihak pendakwaan memohon dia direman di Pusat Perubatan Kompleks Penjara Changi selama tiga minggu untuk pemeriksaan kesihatan, lapor The Straits Times.
Kejadian itu berlaku di Gereja St Joseph’s di Bukit Timah pada 9 November, kira-kira 6.30 petang.
Basnayake dikatakan menikam Paderi Christopher Lee semasa beliau, 57 tahun, meraikan satu upacara keagamaan petang.
Penyerang itu dikatakan menghampiri Paderi Lee semasa beliau mengagihkan roti komuni.
Menurut dokumen mahkamah, mangsa ditikam di mulut. Ia menyebabkan beliau mengalami luka lapan sentimeter (cm) pada lidahnya, luka 3 cm pada bibir kiri atasnya dan luka 4 cm pada sudut mulutnya.
Basnayake didakwa menggunakan pisau lipat yang boleh membahayakan nyawa Paderi Lee dalam serangan itu.
Senjata itu dilucutkan darinya oleh anggota perhimpunan gereja dan ditahan beberapa lelaki sebelum ditangkap pegawai polis.
Sebuah video yang tular dalam talian berikutan serangan itu menunjukkan seorang lelaki kurus, botak dan berkemeja-T putih berlumuran darah dibawa keluar dari gereja dengan tangannya di belakang.
Polis berkata lima senjata ditemui dalam simpanannya, termasuk pisau lipat yang digunakan dalam serangan itu.
Kesnya akan didengar semula di mahkamah pada 2 Disember. Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara seumur hidup atau hingga 15 tahun. Dia juga boleh dikenakan hukuman rotan dan/atau denda.
Basnayake, yang berbangsa Sinhala, sebelum ini mengisytiharkan kepada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) bahawa dia beragama Kristian, kata polis.
Dia dikatakan pernah melawat gereja itu sebelum ini.
Dalam satu kenyataan sebelum ini, polis berkata mereka tidak mengesyaki insiden itu adalah tindakan pengganasan, dan menambah bahawa tiada bukti menunjukkan ia adalah serangan bermotifkan agama.
Bagaimanapun, rondaan polis dipertingkat di tempat-tempat ibadat sehari selepas serangan itu bagi memberi jaminan kepada orang ramai.
Paderi Lee, yang dalam keadaan sedar ketika dibawa ke Hospital Universiti Nasional (NUH), berada dalam keadaan stabil dan masih berada di hospital. Dua hari selepas serangan itu, beliau sudah berupaya bercakap.
Walaupun mengalami luka di lidah, bibir atas dan sudut mulutnya, beliau bercakap tentang kemaafan apabila Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, melawatnya di NUH pada 11 November.
Dalam satu catatan Facebook selepas lawatan hospital itu, Dr Balakrishnan berkata Paderi Lee dalam keadaan awas dan bercakap dengan jelas.
Sambil menyifatkan Paderi Lee sebagai “lelaki yang luar biasa, berani dan mempunyai belas kasihan”, Dr Balakrishanan menambah bahawa beliau terkejut melihat betapa cepatnya Paderi Lee pulih daripada “serangan ngeri” itu.
Kata Dr Balakrishnan: “Beliau menekankan betapa perlunya kita semua menjaga satu sama lain. Dan memaafkan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg