Terdapat 15 kematian yang dilaporkan akibat jangkitan denggi tempatan pada 2024 setakat ini.
Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), jumlah tersebut lebih dua kali ganda bilangan enam kematian sepanjang 2023.
Jumlah kes denggi pada 2024 setakat ini ialah 12,736.
Sebagai perbandingan, jumlah keseluruhan kes pada 2023 ialah 9,949, manakala pada 2022, sebanyak 32,173 kes direkodkan.
Dalam laporan pengawasan denggi suku tahunannya, NEA menyatakan terdapat pengurangan dalam kes denggi sepanjang suku lalu – sebanyak 2,963 kes dari Julai hingga September, iaitu 27.6 peratus lebih rendah daripada jumlah yang direkodkan dari April hingga Jun.
Dari Julai hingga September, NEA mengenal pasti 354 kelompok denggi, dengan 309 daripadanya ditutup dalam tempoh yang sama, lapor The Straits Times.
Bilangan kelompok juga berkurangan kira-kira 18 peratus, berbanding suku sebelumnya.
Selain itu, NEA menemui kira-kira 4,900 kawasan pembiakan nyamuk dalam tempoh yang sama, peningkatan kira-kira 1 peratus daripada tiga bulan sebelumnya.
NEA menyatakan kawasan pembiakan yang lebih sering terdapat di rumah termasuk baldi, pinggan atau dulang alas pokok, pasu, helaian plastik atau kanvas, serta tong sampah di luar rumah berhalaman.
Kawasan pembiakan biasa di tempat awam, sebaliknya, termasuk longkang tertutup dan longkang di tempat letak kereta, bekas terbuang, perangkap parit dan tumbuh-tumbuhan.
Sementara itu, angka kes denggi mingguan pada Oktober menunjukkan terdapat pengurangan ketara dalam bilangan kes, berbanding lebih sebulan lalu, apabila kes meningkat kepada 182 pada minggu 15 September hingga 21 September.
Secara keseluruhan, 118 kes denggi dilaporkan dari 20 Oktober hingga 26 Oktober – 17 kes lebih banyak berbanding minggu sebelumnya.
Hingga 11 pagi pada 29 Oktober, lapan kes lagi direkodkan, menurut laman web NEA.
Selain itu, agensi itu berkata 23 kelompok denggi aktif dikesan setakat 28 Oktober, lapan daripadanya mempunyai amaran merah, bermakna ia adalah kelompok dengan 10 atau lebih kes.
NEA menyatakan kelompok di Jurong West Street 74/Westwood Avenue – dengan 67 kes – mempunyai kadar penularan sangat pantas.
Penularan berterusan juga berlaku dalam kelompok di Jurong East Street 21/Toh Guan Road dan Cashew Road, masing-masing mempunyai 96 dan 78 kes.
Kelompok 65 kes di Ang Mo Kio Central 3 ditutup baru-baru ini, kata NEA.
Singapura menyaksikan wabak denggi terbesar pada 2020, dengan 35,315 kes dan 32 kematian.
Lonjakan kes pada masa itu disebabkan beberapa faktor, termasuk keadaan lebih panas dan lembap, yang kondusif untuk nyamuk, serta orang digigit nyamuk pembawa denggi ketika mereka bekerja dari rumah.
Penduduk, terutama yang tinggal di kawasan kelompok denggi, boleh mengawal denggi dengan menyembur racun serangga di sudut gelap di sekitar rumah.
Mereka juga boleh melindungi diri dengan kerap menyapu ubat pencegah nyamuk dan memakai baju lengan panjang serta seluar panjang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg