Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan berhubung beberapa kes gastroenteritis selepas 15 murid di Sekolah Rendah Perempuan Raffles (RGPS) dilaporkan mengalami gejala pada 1 Oktober.
Menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times (ST), Agensi Penyakit Berjangkit (CDA), Agensi Makanan Singapura (SFA) dan RGPS dalam satu kenyataan bersama pada 7 Oktober berkata tiada murid yang dimasukkan ke hospital dan semua telah kembali ke sekolah pada 2 Oktober.
Gastroenteritis ialah keradangan perut dan usus yang disebabkan oleh virus atau bakteria.
Ia lazimnya dikenali sebagai keracunan makanan dan boleh merebak melalui sentuhan dengan individu lain, atau melalui makanan dan air yang tercemar.
Kakitangan RGPS telah memantau dengan teliti kesihatan semua murid yang terjejas dan akan terus berbuat demikian, menurut kenyataan itu.
Sekolah tersebut juga telah memaklumkan ibu bapa kepada murid-murid berkenaan mengenai situasi itu melalui aplikasi Parents Gateway dan kini membantu CDA serta SFA dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Pihak berkenaan menambah bahawa penjualan makanan kantin yang berkemungkinan terlibat telah segera digantung sebagai langkah berjaga-jaga, dan pemeriksaan turut dijalankan terhadap murid lain, yang dilaporkan berada dalam keadaan baik.
ST difahamkan bahawa murid yang terjejas telah memakan mi.
Pihak berkuasa menegaskan bahawa keselamatan makanan merupakan tanggungjawab bersama dan pengendali makanan perlu memainkan peranan mereka dengan mematuhi amalan keselamatan makanan yang baik.
“SFA tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengendali makanan yang cuai,” tambah kenyataan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg