Topik diikuti
Pergi ke BHku154 saman dikeluar kepada pemandu kenderaan komersial bagi pelbagai kesalahan
154 saman dikeluar kepada pemandu kenderaan komersial bagi pelbagai kesalahan
154 saman dikeluar kepada pemandu kenderaan komersial bagi pelbagai kesalahan
Polis Trafik (TP) mengeluarkan lebih 150 saman kepada pemandu kenderaan komersial sepanjang operasi penguatkuasaan selama tiga hari dari 20 hingga 22 Julai.
Sebanyak 276 kenderaan komersial diarah berhenti untuk pemeriksaan sepanjang operasi tersebut, dengan saman dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan termasuk memandu melebihi had laju dan kegagalan memakai tali pinggang keledar, kata TP pada 3 Ogos.
Pemandu lain turut ditahan atas kesalahan gagal menggunakan lorong sebelah kiri.
Selain itu, tiga individu berusia antara 34 dengan 47 tahun ditangkap kerana memandu tanpa lesen sah dan menggunakan kenderaan bermotor tanpa perlindungan insurans.
Sekurang-kurangnya 99 pelanggaran peraturan berkaitan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) turut dikesan, termasuk mempamerkan nombor plat pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Kesemua kes berkenaan telah dirujuk kepada LTA bagi tindakan lanjut, kata TP.
Jika didapati bersalah, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara dan denda.
TP mengeluarkan peringatan bahawa kenderaan berat perlu dipasang dengan pengehad kelajuan dan mempamerkan label berkenaan di cermin hadapan kenderaan.
Mana-mana kenderaan yang didapati memandu melebihi had laju diwajibkan menjalani pemeriksaan bagi mengesahkan bahawa pengehad kelajuan mereka berfungsi dengan baik.
Lori yang tidak mematuhi peraturan ini dilarang secara undang-undang daripada digunakan di jalan raya Singapura.
Cukai jalan kenderaan berkenaan juga tidak boleh diperbaharui dan perlindungan insurans mereka mungkin dikurangkan.
Pemilik lori dengan berat muatan maksimum antara 5,001 kilogram dengan 12,000 kilogram yang didaftarkan pada atau selepas Januari 2018 juga perlu memasang pengehad kelajuan menjelang 1 Januari 2027.
Senarai ejen bertauliah boleh didapati di laman web Pasukan Polis Singapura (SPF).
Model lori lebih lama yang didaftarkan sebelum 2018 sepatutnya telah dipasang dengan pengehad kelajuan sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu pada awal 2026.