Topik diikuti
Pergi ke BHku15 ditangkap tunggang motosikal tanpa lesen, insurans di Admiralty Rd West
15 ditangkap tunggang motosikal tanpa lesen, insurans di Admiralty Rd West
15 ditangkap tunggang motosikal tanpa lesen, insurans di Admiralty Rd West
Seramai 15 penunggang motosikal ditangkap menunggang tanpa lesen memandu yang sah dan tanpa perlindungan insurans motor semasa satu operasi di Admiralty Road West pada 29 Jun.
Berusia antara 24 dengan 59 tahun, mereka merupakan antara sekitar 280 penunggang motosikal yang diminta menjalani pemeriksaan semasa operasi bersama yang dijalankan Polis Trafik (TP), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Ekoran operasi itu, NEA mengeluarkan 20 saman bagi kesalahan melibatkan bunyi bising kenderaan berlebihan, manakala LTA mengesan 16 kesalahan termasuk mempamerkan plat lesen tidak wajar, cukai jalan yang telah tamat tempoh dan menggunakan kenderaan bermotor tanpa perlindungan insurans, kata polis dalam satu kenyataan pada 8 Julai.
LTA turut menyita sebuah motosikal berdaftar di luar negara kerana memasuki Singapura tanpa permit masuk kenderaan yang sah.
Polis menyatakan pemandu yang tidak mematuhi undang-undang trafik dan peraturan kenderaan Singapura boleh dikenakan penalti.
Kenderaan berdaftar di luar negara juga mungkin tidak diizin masuk ke Singapura.
Sesiapa yang didapati memandu tanpa lesen memandu yang sah boleh didenda hingga $10,000, dipenjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pesalah berulang mungkin dikenakan denda hingga $20,000, penjara hingga enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Kenderaan itu juga boleh dirampas.
Pesalah yang menggunakan kenderaan bermotor tanpa perlindungan insurans menghadapi denda hingga $1,000, hukuman penjara hingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, mereka yang menggunakan kenderaan bermotor dengan pengeluaran asap kenderaan yang berlebihan dan bunyi kenderaan berlebihan boleh dikenakan denda hingga $2,000 bagi kesalahan pertama.
Sabitan berikutnya membawa hukuman denda hingga $5,000.
Pemilik kenderaan yang mempamerkan plat lesen tidak wajar boleh dikenakan denda hingga $1,000, hukuman penjara hingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.
Pesalah berulang boleh dikenakan denda hingga $2,000, hukuman penjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang didapati menggunakan atau menyimpan kenderaan di mana-mana jalan raya tanpa cukai jalan yang sah boleh didenda hingga $2,000.
Jika terbukti mereka berniat mengelak pembayaran cukai yang dikenakan, mereka juga boleh didenda tiga kali ganda jumlah cukai yang sepatutnya dibayar.
Kegagalan membayar permit masuk kenderaan membawa hukuman denda hingga $1,000, penjara hingga tiga bulan, atau kedua-duanya sekali.
Pesalah berulang menghadapi hukuman denda hingga $2,000, penjara hingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
