16 banduan raih sijil jurulatih melalui program pemulihan bola sepak
16 banduan raih sijil jurulatih melalui program pemulihan bola sepak
Sekumpulan 16 banduan kini memiliki sijil kejurulatihan akar umbi Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) selepas tamat menjalani satu program jurulatih yang menggunakan sukan bola sepak untuk mempertingkat kehidupan mereka di balik jeriji penjara.
Program tersebut telah dilancarkan pada Januari 2026, menjadikan kumpulan banduan itu kohort pertama yang tamat menjalani program tersebut.
Inisiatif tersebut merupakan sebuah kerjasama oleh The Twinning Project, Yayasan FIFA, kelab bola sepak Young Lions dan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), serta disokong FAS.
Sepanjang enam minggu, banduan yang menyertai program itu meraih kemahiran menjadi jurulatih bola sepak professional, diterajui pasukan yang merangkumi sekurang-kurangnya seorang pegawai penjara dan anggota kakitangan jurulatih Young Lions.
Setelah tamat, mereka menerima sijil kejurulatihan akar umbi, sekali gus meningkatkan prospek pekerjaan untuk mereka selepas dibebaskan dari penjara.
Program tersebut merupakan kerjasama pertama seumpamanya di Asia Tenggara antara sebuah kelab bola sepak tempatan, rakan institusi dan badan-badan amal antarabangsa untuk menyediakan pemulihan berasaskan bola sepak bagi banduan di Singapura.
Lagi dua kohort akan tamat menjalani program itu pada 2026.
Satu majlis tamat program bagi kohort pertama itu diadakan di penjara pada 15 Februari, dengan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), hadir selaku tetamu terhormat.
Dalam ucapannya, Dr Faishal berkata program sedemikian menyediakan peluang yang membuka pintu bukan hanya ke arah pemulihan dan integrasi semula ke dalam masyarakat, malah juga usaha untuk membina kehidupan yang lebih baik.
“Saya fikir bahawa itu adalah elemen-elemen yang sangat penting, di mana kita mahu setiap individu mempunyai peluang.
“Kita mahu melakukannya dengan lebih baik di Singapura, supaya kita dapat memberikan peluang yang ‘melebihi peluang kedua’ kepada semua orang,” kata beliau.
Dr Faishal turut meraikan banduan yang telah tamat menjalani program tersebut atas dedikasi, kerja keras dan komitmen mereka terhadap pembelajaran.
Beliau berkata mereka telah membuktikan bahawa dengan azam dan sokongan, kemahiran baru dapat dibina, keyakinan dapat ditingkatkan dan laluan ke arah pekerjaan masa depan dapat dibuka.
“(Ini) bukanlah sebuah pengakhiran, tetapi…adalah satu permulaan yang akan membuka lebih banyak pintu – satu langkah ke hadapan menuju peluang, kepercayaan pada diri sendiri serta sumbangan positif kepada masyarakat,” kata beliau.

