Peningkatan banduan muda dan kes serangan: SPS teruskan sokongan
Peningkatan banduan muda dan kes serangan: SPS teruskan sokongan
Tahanan muda dan reman sering hadapi masalah penyesuaian diri
Jumlah banduan muda yang menghuni penjara telah mencatatkan peningkatan.
Jumlah banduan muda yang ditahan meningkat sebanyak 36.2 peratus, daripada 307 orang pada 2024 kepada 418 orang pada 2025.
Banduan muda merujuk kepada individu berusia 16 hingga 21 tahun.
Pada masa yang sama, bilangan banduan reman meningkat sebanyak 21.4 peratus, daripada 1,350 orang pada 2024 kepada 1,639 orang pada 2025.
Peningkatan ini sejajar dengan kenaikan kadar kes serangan di penjara, yang meningkat daripada 54.4 kes bagi setiap 10,000 banduan pada tahun kalendar 2024 kepada 76.7 kes bagi setiap 10,000 banduan pada tahun kalendar 2025.
Terdapat seramai 11,427 banduan dalam penjara dan program masyarakat.
Angka-angka ini didedahkan dalam laporan Statistik Tahunan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) dan Reben Kuning Singapura (YRSG), semasa taklimat statistik tahunan mereka pada 9 Februari di Rumah Peralihan Selarang.
Menurut SPS, banduan muda dan tahanan reman sering menghadapi masalah penyesuaian diri pada awal penahanan, lebih mengikut gerak hati dan cenderung menggunakan keganasan dalam konflik dengan banduan lain, sekali gus menyumbang kepada peningkatan insiden serangan.
SPS menegaskan bahawa kadar kes serangan itu masih rendah berbanding institusi di negara lain, sambil menekankan dasar toleransi sifar terhadap keganasan.
Justeru, SPS mengambil langkah proaktif termasuk membenarkan laporan oleh banduan, mengamalkan pemulihan yang membina hubungan dan semangat masyarakat, menjalankan program menolak keganasan, serta menggunakan kamera pengawasan dengan analitik video untuk mengesan pergaduhan.
Banduan yang dikenal pasti sebagai lebih agresif akan didekati dengan campur tangan lebih mendalam, seperti Program HERO.
Program HERO – yang dinamakan sempena nilai kehormatan (Honour), empati (Empathy), daya tahan (Resilience) dan tanggungjawab (Ownership) – adalah program pemulihan berasaskan psikologi yang menggunakan terapi kognitif dan tingkah laku.
Ia bertujuan menangani pemikiran yang mendorong keganasan serta membekalkan mereka mereka dengan kemahiran dan strategi tingkah laku yang relevan, jelas SPS.
Untuk membantu pegawai penjara bertindak lancar semasa kes serangan, SPS akan menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta teknologi analitik video di dalam sel dan kawasan umum di semua institusi yang dikendalikan oleh SPS mulai 2028.
Penggunaan 100 peratus CCTV dan teknologi analitik video sudah dilaksanakan di dua institusi SPS.
Dalam usaha memperkukuh hubungan, banduan melalui pelbagai program sokongan untuk memudahkan proses pemulihan dan integrasi semula ke dalam masyarakat.
Ini termasuk peralihan berperingkat-peringkat dan sokongan berterusan melalui Program Berasaskan Masyarakat (CBP) dan bimbingan khusus untuk pesalah dadah.
Contohnya, pesalah dadah mengikuti program yang disesuaikan mengikut tahap penyalahgunaan dan risiko residivisme atau pengulangan jenayah, bagi membantu mereka menghindari kekambuhan.
Mereka juga mengikuti program kekeluargaan, latihan vokasional dan kebolehpasaran, program pekerjaan, serta perkhidmatan keagamaan, yang membantu meningkatkan modal ekonomi, sosial, dan kemasyarakatan mereka.
Banduan juga menerima bimbingan untuk mendapatkan pekerjaan yang tetap melalui perkhidmatan pencarian kerja yang disediakan oleh YRSG.
Di bawah program itu, banduan boleh mendapatkan nasihat mengenai perancangan kerjaya, persediaan untuk pekerjaan, serta panduan lain daripada jurulatih, sukarelawan dan sumber daripada YRSG.
Banduan juga menerima bimbingan rangkaian ‘desistors’ – istilah yang digunakan untuk bekas pesalah yang tidak melakukan jenayah selepas dibebaskan.
Antaranya ialah Encik Mohammad Sufian Mohd Noor, yang bebas pada Mac 2012 setelah keluar masuk daripada penjara sembilan kali atas kesalahan berkaitan dengan dadah.
Daripada pertama kali masuk penjara pada 1990-an, beliau kini berjaya pulih daripada penggunaan dadah sejak sekitar 14 tahun lalu.
Kemudian, Encik Sufian berkhidmat sebagai sukarelawan di bawah program Titans oleh Persatuan Syarikat Kerjasama Perusahaan dan Perkhidmatan (Iscos) pada 2019, sebelum menjadi pekerja sepenuh masa di situ pada 2024.
Bagi Encik Sufian, sokongan daripada bekas banduan lain merupakan kunci untuk menjalani proses pemulihan dengan berkesan.
“Susah untuk orang di luar khalayak banduan memahami masalah dan cabaran kami. Untuk saya, menyertai kumpulan sokongan banduan membantu saya meluahkan isu yang tersirat dalam hati,” jelasnya.
Beliau menambah: “Jadi, saya mahu berbakti kepada mereka yang melalui cabaran serupa dengan saya, saya mahu bantu mereka membina hubungan bersama masyarakat sekali lagi…”
Beliau sehingga terdorong menubuhkan kumpulan sokongan sendiri, Agents of Change, sekitar 2020.
Menurut statistik 2025, kadar residivisme secara keseluruhan dalam tempoh dua tahun juga kekal rendah, dengan peningkatan hanya sebanyak 0.6 mata peratusan, daripada 21.3 peratus bagi kohort pembebasan 2022 kepada 21.9 peratus bagi kohort pembebasan 2023.
Kadar ini terus menjadi antara kadar residivisme dua tahun terendah di peringkat antarabangsa.
Sebagai perbandingan, kadar di Denmark pada 2020 ialah 31 peratus; di Australia (2021-2022) ialah 43 peratus; dan di New Zealand (2022) ialah 43.2 peratus.
Kadar residivisme keseluruhan dalam tempoh lima tahun pula kekal stabil, dengan peningkatan sebanyak 2.7 mata peratusan, daripada 36.6 peratus bagi kohort pembebasan 2019 kepada 39.3 peratus bagi kohort pembebasan 2020.

