Topik diikuti
Pergi ke BHku16,000 pemandu Grab hadapi bil cukai lebih tinggi
Akibat rekod pendapatan tidak lengkap
16,000 pemandu Grab hadapi bil cukai lebih tinggi
Kira-kira 16,000 pemandu kereta sewa privet akan menerima bil cukai lebih tinggi selepas syarikat gergasi Grab menyerahkan rekod pendapatan tidak lengkap kepada Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) pada Julai.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), Iras menyatakan pada 28 September bahawa kebanyakan pemandu terbabit akan dikenakan cukai tambahan kurang daripada $100, dengan jumlah sebenar bergantung pada pelepasan dan julat cukai pendapatan masing-masing.
Iras menyatakan pihaknya dimaklumkan Grab pada akhir Julai bahawa kira-kira 28,000 pemandu terjejas selepas memilih menyertai inisiatif prapengisian pendapatan pihak berkuasa itu bagi Tahun Taksiran 2026.
Pendapatan pemandu terbabit dilaporkan lebih rendah daripada jumlah sebenar dalam rekod cukai, tambahnya.
Dalam notis kepada pemandu di laman webnya, Grab berkata “masalah sistem” menyebabkan beberapa bayaran, termasuk insentif, tip dan bayaran lain, tidak disertakan.
Dalam jawapan kepada media pada 28 September, jurucakap Grab berkata syarikat itu telah bekerjasama dengan Iras untuk menyemak proses penyerahan data.
“Grab juga melaksanakan langkah perlindungan tambahan bagi mengurangkan kemungkinan kesilapan sama berulang,” tambahnya.
Diperkenalkan pada 2018, inisiatif prapengisian pendapatan membolehkan maklumat pendapatan pemandu GrabCar diisi terus dalam borang cukai elektronik mereka.
Menurut laman web Grab, inisiatif itu turut meliputi mereka yang memandu dengan Grab sejak tempoh penyertaan bermula. Hanya pendapatan GrabCar akan diisi terus dalam borang cukai.
Iras berkata pihaknya telah menerima rekod yang dibetulkan dan kini menyemak semula Notis Taksiran (NOA) yang terjejas.
Pembayar cukai terbabit tidak perlu mengambil tindakan sebelum menerima NOA yang disemak semula.
Kebanyakan mereka dijangka menerimanya menjelang September, ujar Iras.
Pelan ansuran Giro pembayar cukai terbabit akan diselaraskan secara langsung, tambahnya.
Mereka yang tidak menggunakan pelan ansuran Giro perlu membayar sebelum tarikh akhir yang dicatat dalam NOA yang disemak.
Di laman webnya, Grab menggesa pemandu memastikan jumlah pendapatan dalam NOA sepadan dengan jumlah dalam penyata tahunan rakan kongsi Grab 2025.
Jumlah itu merangkumi dua komponen – jumlah pendapatan dan yuran perkhidmatan Grab.
Jurucakap Grab berkata syarikat itu memohon maaf kepada semua pemandu terbabit atas isu ini serta kesulitan yang dialami.