Topik diikuti
Pergi ke BHkuGetGo tawar khidmat sewa kereta ke M’sia menerusi ciri baharu
Mereka yang mahu bercuti ke Malaysia kini boleh menyewa kenderaan GetGo yang dibenarkan untuk perjalanan rentas sempadan dan memandunya ke Malaysia mulai 1 September.
Ciri Drive to Malaysia (DTM), yang diumumkan syarikat itu pada hari yang sama, merupakan langkah pertama GetGo dalam perjalanan rentas sempadan.
Menerusi tawaran itu, pengguna GetGo boleh menempah kenderaan melalui aplikasi untuk dipandu ke mana-mana sahaja di Semenanjung Malaysia tanpa caj jarak perjalanan.
Bagaimanakah mencari kenderaan DTM yang layak?
Untuk mencari kenderaan DTM yang layak dalam aplikasi, pilih tarikh, masa dan tempoh tempahan yang diinginkan.
Menurut laman web GetGo, tempahan DTM mestilah sekurang-kurangnya 12 jam bagi memastikan masa perjalanan yang mencukupi untuk kembali ke Singapura.
Pada halaman hasil carian, tekan butang ‘Filter’. Kemudian, tandakan kotak ‘Drive to Malaysia (New)’ untuk memaparkan kenderaan DTM yang berdekatan.
Pilih jenis dan kategori kenderaan serta bilangan tempat duduk, sebelum menekan ‘Apply’.
Senarai kenderaan yang layak akan memaparkan tanda ‘Malaysia’. Tekan kenderaan yang diinginkan.
Bagaimana menempah dan menggunakan ciri ini?
Sebelum menekan ‘Book now’, pastikan butang ‘Drive to Malaysia’ dipilih.
GetGo berkata harga tempahan akan dikemas kini sebelum tempahan disahkan.
Apakah kos yang dikenakan?
Caj tambahan rentas sempadan sebanyak 30 peratus daripada caj berdasarkan tempoh sewaan akan dikenakan bagi setiap tempahan.
Bagi kenderaan kategori ‘Select’, caj tambahan dihadkan kepada $20 sehari pada hari bekerja dan sehari sebelum cuti umum, serta $30 sehari pada hujung minggu dan cuti umum.
Bagi kenderaan kategori ‘Plus’, caj tambahan dihadkan kepada $25 setiap hari pada hari bekerja dan sehari sebelum cuti umum, serta $35 setiap hari pada hujung minggu dan cuti umum.
GetGo menyatakan had harga lebih tinggi akan dikenakan bagi tempahan dari hari bekerja hingga hujung minggu.
Tiada caj jarak perjalanan dikenakan bagi ciri ini dan pengguna perlu membayar sendiri kos minyak di Singapura dan Malaysia, menurut GetGo.
Pengecualian kerosakan akibat perlanggaran boleh dibeli sebagai perlindungan tambahan kepada insurans kenderaan asas yang sudah disertakan dalam tempahan.
Cajnya ialah 10 peratus daripada jumlah kos bagi perlindungan biasa dan 20 peratus bagi perlindungan yang dipertingkat.
Bayaran platform tetap sebanyak $1.20 akan dikenakan, manakala pemandu tambahan dikenakan bayaran tetap sebanyak $3.
