Grab Holdings bersetuju membeli pegangan majoriti dalam platform ‘beli sekarang, bayar kemudian’ berpangkalan di Singapura, Atome Financial, pada harga AS$1.49 bilion ($1.9 bilion) bagi memperkasa perkhidmatan kewangannya dalam usaha membangunkan tonggak pertumbuhan baharu. 

Syarikat perkhidmatan tempah kenderaan dalam talian (e-hailing) dan penghantaran itu memperoleh 60 peratus pegangan dalam Atome menerusi satu perjanjian dengan syarikat induknya, Advance Intelligence Group, serta beberapa pihak lain, mengikut kenyataan yang dikeluarkan Grab pada 15 September.

Grab turut bersetuju untuk membeli baki 40 peratus pegangan dalam tempoh kira-kira dua tahun selepas urus niaga itu dimuktamadkan menerusi satu rangka kerja berasaskan prestasi yang terikat dengan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) serta keuntungan Atome.

Aturan berkenaan meletakkan nilai Atome pada julat antara AS$2 bilion dengan AS$4.5 bilion.

Urus niaga tersebut dijangka selesai sepenuhnya menjelang suku ketiga 2027.

Pengambilalihan ini akan mengukuhkan kedudukan Grab dalam perniagaan pinjaman pengguna di Asia Tenggara, sekali gus membantunya berkembang melangkaui ekosistem aplikasinya untuk memacu pertumbuhan dan menarik pelanggan baharu.

Grab memaklumkan syarikat itu kini menyasarkan portfolio pinjamannya melonjak melebihi AS$6 bilion menjelang 2028 termasuk sumbangan Atome, berbanding sasaran awal melebihi AS$3 bilion menjelang akhir 2026.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Grab, Encik Alex Hungate, berkata meskipun Grab telah membangunkan produk ‘beli sekarang, bayar kemudian’ di Malaysia dan Singapura, pengambilalihan Atome dapat mempercepatkan peluasannya ke Filipina, Indonesia, dan Thailand.

Grab sebelum ini telah melancarkan produk ansuran tanpa faedah bagi pembelian pengguna pada 2019 menerusi usaha sama dengan syarikat kad kredit Jepun, Credit Saison.

Pengambilalihan Atome akan membolehkan Grab menumpukan usaha memperbesarkan skala perniagaan berbanding menghabiskan masa bertahun-tahun membangunkan model kredit serta menanggung kerugian yang biasanya berlaku dalam proses memperkemaskan model berkenaan, jelas Encik Hungate.

Syarikat itu juga boleh memanfaatkan tiga bank digital miliknya untuk mengurangkan kos pembiayaan aset Atome, tambahnya.

Pengendali aplikasi perkhidmatan itu beroperasi di lebih 900 bandar di Asia Tenggara serta mengendalikan pemberi pinjaman digital berlesen di Singapura, Malaysia, dan Indonesia.

Selain mengumumkan urus niaga itu, Grab turut menaikkan sasaran 2028 syarikat dengan mengunjurkan Ebitda terlaras sebanyak AS$1.7 bilion dan pertumbuhan keuntungan tahunan melebihi 30 peratus antara 2025 dengan 2028.

Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Grab, Encik Peter Oey berkata:

“Tertakluk kepada garis masa penyelesaian urus niaga, kami menjangkakan Atome Financial, bersama-sama keseluruhan segmen perkhidmatan kewangan kami, bakal menjana Ebitda terlaras sebanyak AS$500 juta menjelang 2028 dengan gabungan portfolio pinjaman kasar melebihi AS$6 bilion.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif firma perunding Momentum Works yang berpangkalan di Singapura, Encik Jianggan Li, menilai langkah Grab itu sebagai strategi membeli masa dan skala perniagaan.

Saham Grab merosot hampir 40 peratus sepanjang 2026, sekali gus meletakkan nilai pasaran syarikat itu pada AS$12.3 bilion.

Atome, yang merupakan singkatan kepada ‘Available to me’ (tersedia buat saya), menawarkan penyelesaian pembayaran fleksibel kepada pengguna di peruncit dalam talian dan luar talian merangkumi sektor fesyen, kecantikan, gaya hidup, pelancongan, kecergasan serta barangan rumah.

Keuntungan Atome pada 2025 melonjak 80 peratus kepada AS$470 juta. – Agensi berita, Reuters.