Topik diikuti
Pergi ke BHku163,000, atau 27%, pemegang saham diskaun Singtel telah jual saham
163,000, atau 27%, pemegang saham diskaun Singtel telah jual saham
Kira-kira 163,000 orang, atau 27 peratus daripada semua pemegang Saham Diskaun Khas (SDS) Singtel, telah menjual saham mereka setakat 31 Ogos.
Angka ini meningkat daripada hampir 83,000 pemegang, atau 13 peratus daripada keseluruhan, yang telah menjual saham mereka setakat 30 April.
Secara keseluruhan, hampir 180 juta SDS Singtel telah dijual, merangkumi kira-kira 25 peratus daripada semua saham berkenaan, kata Singtel dalam pengumuman pada 17 September.
Lebih 60 peratus daripada mereka yang menjual saham tidak mempunyai akaun Depositori Pusat (CDP) individu.
Penjualan itu berlaku menjelang pemindahan baki SDS daripada Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) ke akaun CDP pemegang saham pada 21 November.
Saham pemegang yang mempunyai akaun CDP individu akan dipindahkan ke akaun tersebut, manakala akaun CDP khas akan diwujudkan bagi mereka yang tidak mempunyainya.
Skim SDS diperkenalkan pada tahun 1990-an untuk menggalakkan anggota CPF memiliki saham ketika ramai masih belum biasa melabur.
Parlimen meluluskan pindaan pada Mei untuk menamatkan peranan Lembaga CPF sebagai pemegang amanah skim itu, membolehkan pemegang saham yang membeli saham Singtel pada harga diskaun pada 1993 dan 1996 menguruskannya secara langsung.
Singtel dan Lembaga CPF berkata mereka telah menghubungi pemegang SDS menjelang pemindahan itu, termasuk melalui notis yang dicetak dan dihantar pada April.
Lebih 117,000 pertanyaan dan transaksi dikendalikan di 36 cawangan Singapore Post di seluruh Singapura setakat 31 Ogos, manakala talian khas SDS menerima lebih 15,000 panggilan.
Pegawai Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) juga mengunjungi rumah lebih 11,000 pemegang SDS warga emas yang mungkin kurang mahir menggunakan teknologi digital.
Pemegang SDS yang mahu menyimpan saham mereka tidak perlu mengambil sebarang tindakan sebelum pemindahan pada 21 November.
Mereka yang mahu menjual saham sebelum pemindahan boleh berbuat demikian sehingga 18 November melalui laman web Phillip Securities, cawangan SingPost atau broker runcit Bursa Saham SGX terpilih.
Dagangan saham akan dihentikan sementara dari 19 hingga 21 November untuk proses pemindahan.
Mereka juga boleh menjual saham selepas pemindahan tanpa tertakluk pada syarat pengeluaran CPF dan memilih untuk menerima hasil jualan secara tunai.
Selepas pemindahan, dividen pemegang akaun CDP individu akan dibayar ke akaun bank yang dipautkan kepada akaun CDP mereka. Jika saham dijual, hasilnya akan dibayar mengikut aturan dengan broker masing-masing.
Bagi mereka yang sahamnya disimpan dalam akaun CDP khas, dividen dan hasil jualan akan dibayar ke Akaun Biasa CPF. Mereka juga boleh memilih untuk menerima hasil jualan secara tunai.
