Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

17.3j penumpang lalui Lapangan Terbang Changi pada suku ketiga

CAG: China pasaran terbesar berdasarkan trafik penumpang
Oct 22, 2025 | 4:21 PM
Lapangan Terbang Changi, penumpang, CAG
Lapangan Terbang Changi mencatatkan hampir 6 juta pergerakan penumpang pada Julai, 5.9 juta pada Ogos, dan 5.5 juta pula pada September 2025. - Foto fail ST

Sekitar 17.3 juta penumpang melalui Lapangan Terbang Changi pada suku ketiga 2025, meningkat 3.1 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024.

Lapangan terbang tersebut mencatatkan hampir 6 juta pergerakan penumpang pada Julai, 5.9 juta pada Ogos, dan 5.5 juta pada September, menurut perangkaan terkini yang dikeluarkan oleh Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG) pada 22 Oktober, lapor The Straits Times (ST).

China adalah pasaran terbesar Lapangan Terbang Changi antara Julai dengan September berdasarkan trafik penumpang, diikuti oleh Indonesia, Malaysia, Australia, dan India, kata CAG.

Dalam kalangan 10 pasaran teratas, China dan Vietnam mencatatkan pertumbuhan tahunan tertinggi, dengan China sebanyak 9.7 peratus dan Vietnam 11.3 peratus.

Lima sambungan bandar teratas bagi suku ketiga adalah Kuala Lumpur, Jakarta, Bangkok, Denpasar (Bali) dan Shanghai, dengan laluan Singapura-Jakarta mencatatkan pertumbuhan dua angka.

Dalam pada itu, terdapat 91,600 pergerakan pesawat di Lapangan Terbang Changi pada suku ketiga 2025, berbanding 92,100 pergerakan pada tempoh yang sama pada 2024.

Pada Januari, Menteri Pengangkutan ketika itu, Encik Chee Hong Tat, berkata trafik di Lapangan Terbang Changi pada 2025 dijangka melebihi paras sebelum pandemik, walaupun 2024 mencatatkan 67.7 juta penumpang, hampir menyamai 68.3 juta pada 2019.

Dari Januari hingga September, Lapangan Terbang Changi mengendalikan sekitar 52 juta pergerakan penumpang, peningkatan sekitar dua juta berbanding tempoh yang sama pada 2024.

Rangkaian lapangan terbang itu terus berkembang pada suku ketiga dengan penambahan penerbangan dan destinasi baru.

Syarikat penerbangan Indonesia, Pelita Air, memulakan operasi di Lapangan Terbang Changi pada Ogos, dengan penerbangan harian antara Singapura dengan Jakarta.

Pada suku ketiga 2025, Lapangan Terbang Changi turut dihubungkan dengan bandar-bandar baru di China. Pada September, syarikat penerbangan China, Hainan Airlines, melancarkan perkhidmatan empat kali seminggu Singapura-Haikou-Changchun.

Pada awal Oktober, satu lagi syarikat penerbangan China, Loong Air, memulakan penerbangan tiga kali seminggu ke Zhangjiajie.

Batik Air Malaysia akan menambah penerbangan harian baru ke Ipoh, Pulau Pinang, dan Subang mulai 8 Disember.

Mulai 11 November, syarikat penerbangan kumpulan Lion, Batik Air Malaysia, Batik Air Indonesia dan Thai Lion Air, akan beroperasi di Terminal 4, kata CAG.

Scoot, anak syarikat penerbangan kos rendah Singapore Airlines (SIA), juga akan menambah laluan baru ke empat bandar Indonesia: Labuan Bajo, Medan, Palembang dan Semarang.

Penerbangan ke bandar-bandar ini akan bermula secara berperingkat-peringkat antara Disember 2025 dengan Februari 2026, kata Scoot pada 15 Oktober.

Lapangan Terbang Changi terus mengukuhkan momentum positif dalam permintaan perjalanan pada suku ketiga ini, kata Naib Presiden Eksekutif CAG, bagi pembangunan hab udara dan kargo, Encik Lim Ching Kiat.

Pengembangan rangkaian Lapangan Terbang Changi lebih lanjut akan mengukuhkan hubungan Changi dengan rantau ini, katanya.

“Menjelang musim percutian hujung tahun, pelancong boleh menantikan kemudahan yang lebih baik dan lebih banyak pilihan destinasi,” tambah Encik Lim.

Setakat 1 Oktober, sekitar 100 syarikat mengendalikan kira-kira 7,000 penerbangan mingguan di Lapangan Terbang Changi, menghubungkan Singapura dengan lebih 160 bandar di 50 negara dan wilayah di seluruh dunia. 

Sasaran lapangan terbang itu adalah untuk dihubungkan dengan lebih 200 bandar menjelang pertengahan 2030-an.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg