Inisiatif yang bermula empat tahun lalu melalui kerjasama tujuh agensi masyarakat Melayu/Islam bertujuan menyokong 150 keluarga bekas pesalah kini diperluaskan untuk membantu lebih 460 keluarga sempena Aidiladha.

Program Pengagihan Korban Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu/Islam (MMORN) 2026 - yang berlangsung di Masjid An-Nur pada 20 Jun - kini melibatkan rekod 17 agensi masyarakat yang bergabung tenaga dan sumber.

Melalui pengagihan tersebut, keluarga akan menerima nasi beriani yang dimasak menggunakan 400 kilogram daging korban yang disumbang menerusi Korban SalamSG selain pek makanan dan juga baucar barangan runcit.

Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri, jumlah penerima manfaat tahun ini naik tiga kali ganda berbanding ketika program tersebut diperkenalkan pada 2022, sekali gus mencerminkan sokongan masyarakat yang semakin meningkat terhadap usaha pemulihan dan integrasi semula bekas pesalah serta keluarga mereka.

Mengulas perkembangan itu, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkata peluasan program tersebut amat menggalakkan dan menunjukkan bahawa semakin ramai anggota masyarakat bersedia memainkan peranan dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Saya rasa gembira kerana pada tahun ini kita dapat melihat kesedaran usaha ini tahun demi tahun semakin mantap dan lebih ramai yang tahu apa yang kita lakukan dalam rangkaian pemulihan ini,” katanya semasa ditemui media semasa acara tersebut.

Menurut beliau, kejayaan program itu turut mencerminkan pembentukan satu barisan sokongan masyarakat yang semakin kukuh dalam membantu bekas pesalah dan keluarga mereka membina semula kehidupan.

Dr Faishal juga berkata penglibatan pelbagai pertubuhan masyarakat membuktikan bahawa usaha pemulihan bukan tanggungjawab satu agensi sahaja, sebaliknya memerlukan sokongan kolektif daripada seluruh masyarakat.

“Apabila semua bekerja lebih rapat, kita bukan sahaja meningkatkan kesedaran tetapi melihat bahawa usaha seperti ini boleh mendatangkan hasil, meringankan beban mereka yang sedang menghadapi cabaran ini dan sekaligus membangunkan masyarakat yang lebih baik pada masa akan datang,” tambahnya.

Acara itu dianjurkan hasil kerjasama Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), pertubuhan Melayu/Islam serta masjid-masjid rakan kongsi.

Antara agensi yang terlibat tahun ini ialah AMP Singapura, Jamiyah, Pertapis, Mendaki, Muhammadiyah, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) serta Persatuan Perkhidmatan Sosial Muslim India (IMSSA).

Tahun ini juga menyaksikan pendekatan baharu apabila para penerima diberikan hidangan nasi beriani yang dimasak menggunakan daging korban berbanding pengagihan daging mentah seperti tahun-tahun sebelumnya.

Hidangan tersebut disediakan oleh IMSSA, yang melihat penyertaannya dalam program itu sebagai peluang untuk memperluaskan lagi usaha khidmat masyarakat yang selama ini dijalankan menerusi program pengagihan bantuan bulanan.

Menurut Naib Presiden IMSSA, Cik Irfana Banu Khider Mohamed, penglibatan dalam program tersebut membolehkan pihaknya membantu lebih ramai penerima manfaat daripada pelbagai pertubuhan di seluruh Singapura.

“Kami telah lama berkhidmat kepada masyarakat melalui program pengagihan bulanan, namun inisiatif ini memberi peluang kepada kami untuk meluaskan bantuan kepada lebih ramai penerima manfaat di seluruh Singapura.

“Kami amat berterima kasih atas peluang untuk menyediakan makanan kepada para penerima menggunakan daging korban yang disumbangkan,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada 2022, Program Pengagihan Korban MMORN bukan sahaja berkembang dari segi skala, malah turut memperkukuh rangkaian sokongan masyarakat bagi keluarga yang terjejas akibat penyalahgunaan dadah.