Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan, termasuk Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Lembaga Taman Negara (NParks), serta pihak berkepentingan lain bagi meneliti kejadian yang menjejas pelaksanaan ibadah korban tempatan pada 2026.

Ketika ditemui semasa acara pengagihan daging korban luar negara, anjuran SalamSG, pada 18 Jun, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata semakan tersebut bertujuan memperkukuh penyelarasan, pemeriksaan kesediaan pengendali serta pengaturan di luar jangkaan bagi ibadah korban tempatan pada masa hadapan.

“Kami memahami kebimbangan dan keresahan yang dirasai para sohibul (pelaksana) korban yang terjejas, lebih-lebih lagi kerana korban merupakan ibadah yang amat bermakna bagi mereka, keluarga mereka dan masyarakat Islam di Singapura.

“Tumpuan kami adalah untuk terus memberi masyarakat keyakinan terhadap pengaturan korban tempatan pada masa hadapan,” katanya.

Pada 23 Mei lalu, pengendali korban tempatan, The Meat Brothers (TMB), memaklumkan mereka tidak dapat membawa masuk ternakan dari Australia tepat pada masanya bagi pelaksanaan korban sempena Aidiladha lalu pada 27 Mei.

Mengulas lanjut, Dr Faishal berkata ibadah korban tempatan melibatkan pelbagai pihak merentasi rantaian bekalan dan menegaskan pengendali serta pembekal perlu memastikan mereka dapat memenuhi syarat serta komitmen yang ditetapkan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada sohibul korban yang terjejas atas kesabaran dan kefahaman yang ditunjukkan sepanjang tempoh tersebut.

Dalam pada itu, musim korban 2026 diteruskan menerusi pelbagai program pengagihan daging korban di seluruh Singapura, yang dijangka memanfaatkan sekitar 5,000 keluarga sepanjang beberapa minggu akan datang.

Sukarelawan dilihat membungkus daging korban dari Australia bagi tujuan pengagihan pada 18 Jun, anjuran SalamSG.
Sukarelawan dilihat membungkus daging korban dari Australia bagi tujuan pengagihan pada 18 Jun, anjuran SalamSG. - Foto MASJID AL-KHAIR

Pada acara pengagihan pada 18 Jun, sekitar 140 keluarga menerima daging korban yang disumbangkan menerusi program, Korban Luar Negara SalamSG.

Sukarelawan dan kakitangan masjid turut mengagihkan daging korban kepada penerima di beberapa kawasan perumahan, termasuk di sekitar North Bridge Road.

Salah seorang sukarelawan Masjid Sultan, Syed Muhammad Ahmad Soedarmo, 40 tahun, berkata beliau terlibat dalam pengagihan daging korban sejak 2023.

Pemandu limousin itu berkata semangat korban bukan sekadar meliputi proses melaksanakan ibadah, bahkan mengingatkan masyarakat tentang kepentingan berkongsi rezeki dengan golongan lain.

“Tidak kira di mana-mana sahaja tahap kehidupan seseorang, penting untuk kita memberi kembali kepada masyarakat.

“Inisiatif seperti ini menekankan semangat tersebut yang selaras dengan ibadah korban,” katanya.

Antara penerima bantuan termasuk Encik Aziz Hashim, 69 tahun; dan isterinya, Cik Normah Supandi, 52 tahun, yang mempunyai enam anak.

Encik Aziz, seorang pakar sokongan rakan sebaya yang membantu individu dalam proses pemulihan, berkata usaha mengagih daging korban mencerminkan semangat saling membantu, yang diperlukan masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan sokongan.

Seorang lagi penerima bantuan, Cik Sadiah Ithnin, 74 tahun, yang mempunyai lapan cucu dan seorang cicit, berkata beliau berasa dihargai apabila menerima sumbangan tersebut.

“Inisiatif seperti ini membuat saya rasa gembira dan dihargai.

“Saya bercadang guna daging korban ini untuk masak sup kambing,” tambahnya.