Kerja pembersihan satu lembaran baru bagi gelandangan
Impian miliki rumah sendiri kian nyata
Sebagai seorang gelandangan – individu yang tiada tempat berteduh – Zak’ (bukan nama sebenar) sentiasa menyimpan hasrat untuk memiliki rumah sendiri.
Impian itu kini mula terzahir setelah beliau mendapat pekerjaan sepenuh masa sebagai pencuci di sebuah sekolah rendah di barat Singapura.
Ini membuka peluang cerah untuknya memohon perumahan awam, seperti flat sewa.
Sewaktu ditemui Berita Harian (BH) ketika sahur di Masjid Assyakirin, Taman Jurong, Zak berkongsi bahawa beliau ditawarkan pekerjaan tersebut dan mula bekerja sejak pertengahan Januari.
Sebelum ini, beliau menganggur selama setahun – sejak berhenti kerja pada Januari 2025 – dan sepanjang tempoh itu, beliau gigih mencari pekerjaan yang sesuai.
Ayah kepada tiga anak berusia 55 tahun itu berkata: “Perkara pertama yang saya buat dengan gaji pertama adalah belanja anak-anak makan dan belikan baju kurung, memandangkan Hari Raya makin dekat.
“Senyuman mereka sudah cukup membakar semangat. Tiada yang lebih bermakna dari itu.”
Pada Oktober 2025, BH melaporkan lobi tangga di blok-blok HDB sekitar kawasan Taman Jurong menjadi tempat berteduh Zak, setelah hidup merempat hampir sebulan bagi menanti penempatan sementara.
Beliau dirujuk oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) kepada Masjid Assyakirin pada Jun 2025, setelah mendapatkan bantuan daripada Pejabat Khidmat Sosial (SSO) sekitar April 2025.
Masjid itu, bersama Masjid Hang Jebat, adalah dua tempat yang kini menyediakan program tempat tidur selamat atau Safe, Sound Sleeping Places (S3P) dan menempatkan empat gelandangan, termasuk Zak.
Sejak kisah beliau disiarkan BH, Zak telah berjaya mendapat kelulusan kursus keselamatan dan dengan rela hati menamatkan bantuan kewangan yang diterima.
Dengan gaji bulanan sekitar $1,900 dan aliran pendapatan yang stabil, Zak berhasrat berpindah dari premis Masjid Assyakirin ke flat sewa awam dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.
Lebih daripada sekadar keselesaan, beliau mendambakan untuk tinggal sebumbung bersama anak-anaknya, yang kini menumpang di rumah kenalan, katanya.
“Saya lakukan semua ini bukan untuk diri saya, tetapi demi anak-anak,” tambah beliau, penuh makna.
Menjelaskan rutin Ramadannya, Zak akan bangun sekitar 4.30 pagi untuk bersiap, diikuti sahur ringkas – sama ada hidangan dari masjid atau yang dibeli sendiri malam sebelumnya.
Beliau kemudian menunaikan Subuh berjemaah sebelum berangkat ke tempat kerja sekitar 6.30 pagi.
BH sempat mengikuti Zak dalam perjalanannya ke tempat kerja, yang hanya beberapa minit berjalan kaki dari masjid, sekali gus menjimatkan perbelanjaan pengangkutan.
Waktu kerjanya adalah Isnin hingga Jumaat, dari jam 7 pagi hingga 4 petang. Selepas tamat, beliau akan pulang ke masjid untuk berehat dan berbuka bersama jemaah lain.
“Alhamdulillah, rezeki tak disangka dan pekerjaan baru ini adalah lembaran baru,” ujar beliau.
“Tumpuan saya kini adalah untuk seberapa boleh memperbaiki dan meningkatkan kemahiran diri sendiri di tempat kerja.”

