Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

177 warga S’pura baru terima kerakyatan

Aug 18, 2024 | 6:07 PM
Encik Frederic Maury (kanan) bersama (dari kiri) isterinya, Cik Yuko Arai, dan anak perempuan mereka, Sawako dan Ayano di Teater Seni Persembahan, Institut Pengurusan Singapura, pada 18 Ogos.
Encik Frederic Maury (kanan) bersama (dari kiri) isterinya, Cik Yuko Arai, dan anak perempuan mereka, Sawako dan Ayano di Teater Seni Persembahan, Institut Pengurusan Singapura, pada 18 Ogos. - Foto ST

Apabila Encik Frederic Maury memberitahu ibu bapanya bahawa keluarganya telah memutuskan untuk menetap di Singapura, setahun selepas beliau mula bekerja di sini pada 2012, mereka hairan mengapa beliau mahu tinggal jauh dari rumah mereka di Toulouse, Perancis.

Encik Maury, 55 tahun, seorang eksekutif pengurusan di sebuah syarikat solusi teknologi global, berkata: “Ibu bapa saya sukar diyakinkan. Mereka agak sedih kerana kami akan berada jauh dari mereka.”

Kemudian ibu bapanya, kini berusia 80-an tahun, melawat Singapura buat kali pertama dan “mereka lihat mengapa keluarga kami mahu menetap di sini”, katanya dalam satu laporan The Straits Times.

“Mereka menyifatkannya sebagai ‘taman yang indah’,” kata Encik Maury, merujuk kepada banyak kehijauan di landskap bandar Singapura.

Keluarganya juga menikmati keselamatan yang mereka rasakan di sini dan, memandangkan anak-anak mereka telah didaftarkan ke sekolah tempatan, mereka memutuskan ia adalah rumah yang sesuai untuk mereka.

Pada 18 Ogos, isteri Encik Maury, Cik Yuko Arai, 55 tahun, dan anak perempuan mereka, Sawako, 15 tahun dan Ayano, 21 tahun, disahkan sebagai warga Singapura baru.

Mereka adalah antara 177 warga Singapura baru yang menerima sijil kewarganegaraan mereka di Majlis Kewarganegaraan Kebangsaan tahunan, yang diadakan oleh Persatuan Rakyat (PA) di Teater Seni Persembahan, Institut Pengurusan Singapura (SIM).

Warganegara baru dikehendaki menerima sijil kewarganegaraan mereka, sama ada di majlis peringkat nasional, yang diadakan di kawasan undi secara bergiliran, untuk memperingati kepentingan kewarganegaraan atau pada upacara lain yang diadakan di GRC.

Bercakap pada 18 Ogos pada majlis itu, Menteri Ehwal Luar, Encik Vivian Balakrishnan, mengalu-alukan warga baru dan menggalakkan mereka menyumbang kepada matlamat bersama Singapura, termasuk kepelbagaian budaya dan keharmonian, yang membantu negara berfungsi sebagai “masyarakat berdaya maju”.

“Menyedari bahawa setiap orang mempunyai bakat yang unik, kita harus mencari cara yang bermakna untuk menyumbang kepada masyarakat kita,” tambahnya.

Dr Balakrishnan juga memuji Encik Maury dan Cik Arai atas kerja sukarela mereka yang aktif.

Encik Maury menyokong badan amal untuk menyediakan dan mengagihkan makanan untuk golongan yang kurang bernasib baik.

Cik Arai, yang berasal dari Saitama, Jepun, kerap mengunjungi Hospis Dover Park untuk bermain piano bagi menghiburkan warga emas dan juga menjalankan perniagaan yang menyediakan kelas yoga dan senaman untuk kanak-kanak berkeperluan khas.

Encik Maury berkata:

“Ia adalah detik kegembiraan yang sebenar untuk kami, menjadi warganegara Singapura. Dan ia memberi keluarga kami rasa aman dan selamat.”

Menurut statistik terkini, kira-kira 23,500 kewarganegaraan baru telah diberikan pada 2023.

Permohonan untuk menjadi warganegara Singapura terbuka kepada mereka yang telah menjadi Penduduk Tetap (PR) Singapura sekurang-kurangnya dua tahun, dan berumur 21 tahun ke atas.

Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata di laman webnya, pertalian keluarga pemohon dengan warga Singapura, sumbangan ekonomi, kelayakan dan tempoh bermastautin di sini, adalah antara faktor yang dipertimbangkan dalam penilaian keupayaan mereka untuk menyumbang kepada negara dan berintegrasi ke dalam masyarakat, serta sebagai komitmen mereka untuk tinggal di sini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg