Kesemua 18 anak kapal pengangkut yang tenggelam di kawasan pesisir Vietnam telah diselamatkan, menurut Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada 11 Januari.
MPA dalam kenyataannya berkata Pusat Penyelarasan Menyelamat Maritim (MRCC) mereka telah dimaklumkan sekitar 7 pagi pada 11 Januari oleh kapal kontena berdaftar Hong Kong, Nicolai Maersk, mengenai panggilan kecemasan yang diterima daripada kapal pengangkut berdaftar Vietnam, Dolphin 18.
Dolphin 18 dilaporkan berada di sekitar 274 batu nautika ke barat daya Vung Tau, Vietnam – yang berada dalam kawasan pencarian dan penyelamatan maritim Singapura.
Kawasan itu merangkumi perairan Singapura serta lebih satu juta kilometer persegi dari kawasan Laut China Selatan.
“MRCC menyelaraskan usaha mencari dan menyelamat itu dan segera mengeluarkan siaran pengemudian untuk kapal-kapal di kawasan persekitaran supaya mengawasi dan melaporkan sebarang penemuan kapal yang dalam keadaan kecemasan, serta memaklumkan (perkara itu kepada) pihak penguasa Vietnam,” kata MPA.
Nicolai Maersk adalah kapal pertama yang tiba di lokasi kejadian untuk menyelamatkan kesemua 18 anak kapal Dolphin 18 – yang ditemui berada di dalam bot penyelamat mereka, lapor The Straits Times.
Menurut MPA, kesemua anak kapal “ditemui dalam keadaan sihat” dan Nicolai Maersk dijadualkan turun di Tanjung Pelepas, Malaysia.
Sementara itu, MRCC mengeluarkan siaran untuk kapal-kapal yang melintas agar berhati-hati ketika berada kawasan di mana Dolphin 18 – yang dibina pada 1999 – tenggelam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg