Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

18 ditahan, 82 vape dirampas dalam operasi HSA di Raffles Place, Haji Lane

Aug 20, 2025 | 8:04 PM
vape, ditangkap, operasi HSA
Operasi pencegahan dua hari yang bermula pada 19 Ogos menyaksikan 18 individu berusia antara 24 dengan 48 tahun ditangkap atas kesalahan berkaitan vape. - Foto ST

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) telah merampas 82 rokok elektronik atau vape, termasuk 62 batang tembakau atau heatsticks dalam operasi pencegahan yang dijalankan di Raffles Place dan Haji Lane.

Operasi dua hari itu, yang bermula pada 19 Ogos, menyaksikan 18 individu berumur antara 24 dengan 48 tahun ditahan kerana kesalahan berkaitan vape, lapor The Straits Times (ST).

Mereka yang ditangkap kerana menghisap vape boleh dikenakan denda maksimum sebanyak $2,000.

Operasi itu adalah yang terbaru di Singapura sedang pihak berkuasa meningkatkan tekanan terhadap pengguna vape.

Kebanyakan pengguna vape terkejut apabila pegawai HSA memperkenalkan diri kepada mereka.

Walaupun vape diharamkan sejak 2018, jumlah vape yang dirampas dan mereka yang ditangkap terus meningkat.

Menurut data ST, HSA telah merampas vape dan komponennya bernilai $41 juta dari Januari 2024 hingga Mac 2025, hampir lima kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah yang dirampas antara 2019 dengan penghujung 2023.

Lebih 17,900 individu ditangkap kerana memiliki dan menggunakan vape dari Januari 2024 hingga Mac 2025.

Dalam Ucapan Rapat Hari Kebangsaan, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata pemerintah akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap penggunaan vape dan menganggapnya sebagai isu dadah, dengan hukuman lebih berat akan dikenakan.

“Banyak vape mengandungi bahan berbahaya seperti etomidate. Vape hanyalah alat penghantar, tetapi bahaya sebenar terletak pada kandungannya.”

“Sekarang, ia etomidate. Pada masa depan ia mungkin dadah yang lebih kuat dan berbahaya,” tambah Encik Wong.

Langkah itu diambil di tengah kebimbangan mengenai penyebaran Kpod dalam vape yang dirampas di Singapura.

Kpod adalah vape yang mengandungi dadah sintetik seperti etomidate, ketamin dan methamphetamine.

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, mengumumkan pada 20 Julai mengenai rancangan memasukkan etomidate di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA), selepas satu daripada tiga vape yang dirampas baru-baru ini didapati mengandungi etomidate.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dijangka memasukkan etomidate di bawah MDA sebagai langkah sementara, manakala Kementerian Kesihatan (MOH) akan meneruskan kajian terhadap tindakan perundangan lanjut.

Langkah itu membolehkan penyalahguna dan penyeludup Kpod dikenakan hukuman yang sama seperti mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan atau penyeludupan dadah, termasuk pemulihan mandatori dan hukuman penjara bagi pesalah berulang.

Orang ramai boleh melaporkan penggunaan vape kepada Cawangan Pengawalan Tembakau di talian 6684-2036 atau 6684-2037 dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari, atau secara dalam talian di www.go.gov.sg/reportvape.

Individu yang memerlukan bantuan untuk berhenti menghisap vape boleh menyertai program ‘I Quit’ anjuran Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dengan menghubungi QuitLine di talian 1800-438-2000.

Pihak berkuasa berkata mereka yang secara sukarela mencari sokongan untuk berhenti menghisap vape tidak akan dikenakan sebarang hukuman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg