Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

18 penerbangan ke Changi, Seletar diubah haluan dek cuaca buruk

Changi catat jumlah hujan tertinggi pada 10 dan 11 Jan akibat hujan berpanjangan disebabkan lonjakan monsun
Jan 13, 2025 | 3:10 PM
Sebanyak 12 penerbangan yang sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Changi dan enam penerbangan yang menuju ke Lapangan Terbang Seletar telah dipesongkan akibat cuaca buruk.
Sebanyak 12 penerbangan yang sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Changi dan enam penerbangan yang menuju ke Lapangan Terbang Seletar telah dipesongkan akibat cuaca buruk. - Foto ST

Sejak petang 10 Januari, 18 penerbangan yang sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Changi dan Seletar di Singapura telah dipesongkan ke lapangan terbang berdekatan akibat hujan lebat.

Changi Airport Group (CAG), yang mengendalikan kedua-dua lapangan terbang itu, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa 12 penerbangan yang dijadual mendarat di Lapangan Terbang Changi telah dilencongkan, manakala enam penerbangan yang sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Seletar juga telah diarah ke lapangan terbang lain.

Sebanyak 12 penerbangan yang dijadual mendarat di Lapangan Terbang Changi telah dilencongkan ke lapangan terbang serantau seperti di Johor Bahru dan Kuala Lumpur di Malaysia dan Batam di Indonesia.

Penerbangan ini, yang dikendalikan syarikat berbeza, telah memulakan perjalanan mereka dari bandar seperti Bangkok dan Phuket di Thailand, Jakarta di Indonesia dan Shanghai di China, tambah CAG.

Enam penerbangan bukan komersial – jet peribadi atau pesawat yang digunakan bagi tujuan latihan – yang sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Seletar dilencongkan ke Lapangan Terbang Changi.

Tiada sebarang lencongan penerbangan dilaporkan pada pagi 13 Januari, tambah CAG.

Cuaca hujan berpanjangan disebabkan oleh lonjakan monsun yang berlaku menyebabkan Changi mencatatkan jumlah hujan tertinggi, iaitu 255.2 milimeter, pada 10 dan 11 Januari.

Menurut agensi air negara, PUB, ia melepasi purata jumlah hujan bulanan Singapura sebanyak 222.4 milimeter pada Januari,

Lonjakan monsun ialah peningkatan mendadak dalam kelajuan angin yang menyebabkan udara sejuk bergerak ke selatan melintasi Laut China Selatan.

ST sebelum ini melaporkan bahawa lebih 50 penerbangan Singapore Airlines pada 10 dan 11 Januari telah ditangguhkan atau dijadualkan semula akibat cuaca buruk.

Amaran banjir kilat turut dikeluarkan untuk tempoh antara 10 dengan 13 Januari, apabila PUB memberi amaran bahawa hujan lebat boleh menyebabkan saluran dan longkang melimpah buat sementara waktu, menyebabkan banjir kilat berlaku.

Suhu turun ke 21.6 darjah Celsius di Newton pada pagi 11 Januari, hampir menyamai suhu terendah 21.4 darjah Celsius pada 2024.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg