Dua orang telah dikejarkan ke hospital dan 20 orang diarahkan keluar dari pusat beli-belah Lucky Plaza pada 20 Oktober selepas satu kebakaran berlaku di bangunan di Orchard Road itu.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia dimaklumkan mengenai kebakaran itu kira-kira 9.45 pagi, lapor The Straits Times (ST).
Seramai 20 individu telah keluar dari situ sebelum SCDF tiba di tempat kejadian.
Menurut SCDF, kebakaran itu melibatkan dapur arang di dalam unit di tingkat enam, sambil berkata orang awam telah memadamkan api menggunakan baldi air sebelum pegawainya tiba.
Dua orang kemudian dikejarkan ke Hospital Tan Tock Seng.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.
Dalam video di Facebook, kira-kira 10 pegawai SCDF boleh dilihat di sebelah sebuah ambulans, dengan orang ramai berkumpul di hadapan pintu masuk ke Lucky Plaza, yang menempatkan puluhan kedai dan kedai makan, yang banyak dilanggani golongan ekspatriat Filipina.
Pintu bangunan itu masih terbuka, dengan orang ramai keluar masuk.
Dalam catatan di Facebook pada kira-kira 10.07 pagi, seorang saksi, Cik Jane Z Hwee Mei, berkata beliau “disambut oleh kepulan asap” dan bau hangus.
Menurutnya, beliau sedang menggunting rambut di tingkat enam apabila seorang anggota bomba memasuki unit itu dan meminta orang ramai keluar.
Cik Jane memberitahu ST bahawa unit pendandan rambut itu agak jauh dari unit yang terbakar itu.
Pada masa itu, kebanyakan kedai di tingkat itu ditutup.
Selepas bomba tiba untuk meminta mereka keluar, pendandan rambut Cik Jane dengan pantas menyelesaikan guntingan rambut sebelum mereka meninggalkan unit itu.
Ketika berjalan melepasi unit yang terjejas, beliau berkata beliau melihat asap memenuhi seluruh bahagian dalam, yang mula berkepul ke koridor.
Bercakap kepada wartawan akhbar Shin Min Daily News, seorang pekerja kedai pakaian berkata beliau melihat asap putih keluar dari sebuah restoran, tetapi asapnya tidak tebal.
“Kami mulanya meneruskan perniagaan kami sehingga seorang pegawai datang menyuruh kami keluar,” katanya.
Kejadian kebakaran pernah berlaku di Lucky Plaza pada 2014 dan 2015, yang berpunca daripada kedai makan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg