Seorang wanita yang didakwa menyertai enam perhimpunan tanpa kebenaran untuk menunjukkan sokongannya terhadap pergerakan kerohanian China, Falungong, telah dihadapkan dengan enam tuduhan di bawah Akta Ketenteraman Awam pada 25 September.

Ng Chye Huay didakwa berulang kali menyertai perhimpunan awam tanpa permit.

Lima daripada perhimpunan itu berlaku di Merlion Park antara Oktober 2024 dengan November 2025.

Wanita berusia 62 tahun itu turut didakwa menyertai satu perhimpunan tanpa kebenaran di Jambatan Anderson, berhampiran Merlion Park, pada Februari 2026.

Kesnya dijadualkan untuk satu persidangan praperbicaraan pada 26 Oktober.

Dalam satu kes berasingan, seorang naib presiden pertubuhan bukan pemerintah (NGO), Humanitarian Organisation for Migration Economics, didakwa atas peranannya dalam tiga perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

Mahkamah mendengar bahawa S. Suraendher Kumarr, 32 tahun, didakwa menyertai perhimpunan penyalaan lilin, atau candlelight vigil, yang diadakan berhampiran Penjara Changi, berkaitan hukuman mati dua pengedar dadah warga Singapura. 

Ini termasuk satu perhimpunan yang diadakan pada 29 November 2024 untuk Masoud Rahimi Mehrzad.

Lelaki berusia 35 tahun itu disabitkan kesalahan pada 2013 kerana mengedar 31.14 gram diamorfin, atau heroin tulen, satu jumlah yang mencukupi untuk memenuhi ketagihan kira-kira 370 penagih selama seminggu.

Akta Penyalahgunaan Dadah memperuntukkan hukuman mati sekiranya jumlah diamorfin yang diedarkan melebihi 15 gram.

Suraendher turut didakwa menyertai satu perhimpunan yang diadakan pada 23 Januari 2025 untuk Syed Suhail Syed Zin.

Lelaki berusia 48 tahun itu disabit kesalahan pada 2015 kerana mengedar 38.8 gram heroin tulen, yang boleh memenuhi ketagihan kira-kira 460 penagih selama seminggu.

Suraendher dikatakan turut terlibat dalam satu perhimpunan awam berasingan yang diadakan pada 3 Februari 2025 di Mahkamah Negara, sebuah kawasan larangan, bagi menyeru penghapusan hukuman mati di Singapura.

Kesnya akan disebut semula pada 20 Oktober, selepas mahkamah membenarkan pengantin baharu itu melancong ke Britain dari 25 September hingga 4 Oktober untuk bulan madunya.

Dia perlu menyerahkan pasportnya kepada pihak berkuasa dalam tempoh 24 jam selepas kepulangannya ke Singapura.

Pada 9 September lalu, enam wanita telah didakwa kerana menyertai perhimpunan awam tanpa permit.

Acara menyalahi undang-undang yang mereka didakwa sertai kebanyakannya berkaitan konflik Gaza. Kes mereka masih dalam proses.

Mereka yang disabitkan kesalahan kerana menyertai perhimpunan awam tanpa permit boleh didenda sehingga $3,000 bagi setiap tuduhan, manakala menyertai perhimpunan atau perarakan di kawasan larangan boleh membawa denda sebanyak $5,000 bagi setiap pertuduhan.