Empat orang, termasuk dua kanak-kanak, dibawa ke hospital selepas lantai di sebuah unit gudang di Toa Payoh runtuh, menyebabkan tiga individu terperangkap di bawah gulungan permaidani dan rak-rak.
Menerusi kenyataannya di Facebook pada 28 Januari, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka dimaklumkan mengenai kejadian di 11 Toa Payoh Industrial Park itu sekitar 5.50 petang.
Apabila pegawai SCDF tiba di lokasi, seorang mangsa telah berjaya melepaskan dirinya daripada runtuhan itu dan memaklumkan kepada pegawai SCDF bahawa masih terdapat tiga lagi individu yang terperangkap, termasuk dua kanak-kanak.
Pegawai bomba dari Balai Bomba Bishan, pasukan penyelamat dari Unit Respons Khas dan Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (Dart) menjalankan operasi pencarian di kawasan yang berukuran kira-kira 20m x 10m.
Dua ekor anjing pengesan SCDF turut dikerahkan.
Selepas kira-kira 90 minit, pasukan penyelamat berjaya mengalihkan gulungan permaidani serta memotong rak-rak di tempat itu dan menemui mangsa.
Kesemua empat mangsa berada dalam keadaan sedar ketika dibawa ke hospital. SCDF menyatakan bahawa kedua-dua kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK, manakala dua lagi mangsa dihantar ke Hospital Tan Tock Seng.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg