Topik diikuti
Pergi ke BHku2 lelaki ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands cuba seludup rokok, vape
Dua lelaki telah ditahan di Pusat Pemeriksaan Woodlands kerana cuba menyeludup masuk rokok dan vape yang tidak dibayar cukai ke Singapura menggunakan motosikal.
Kededua lelaki itu ditahan dalam kejadian berasingan pada 3 dan 4 Ogos, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu hantaran di Facebook pada 13 Ogos.
Dalam kejadian pada 3 Ogos, pegawai ICA mengarahkan motosikal berdaftar di Malaysia untuk menjalani pemeriksaan lanjut.
Pemeriksaan itu menemukan lebih 30 paket rokok yang tidak dibayar cukai, selain lebih 60 vape dan komponen berkaitan yang disembunyikan di dalam ruang simpanan motosikal.
Dalam kejadian pada 4 Ogos pula, pemeriksaan terhadap motosikal berdaftar di Singapura menemukan 25 karton dan 30 paket rokok yang tidak dibayar cukai, serta lebih 60 vape.
Barangan terlarang itu disembunyikan di bawah tempat duduk dan di dalam ruang simpanan motosikal.
ICA berkata seorang lelaki warga Malaysia berusia 46 tahun dan seorang lelaki warga Singapura berusia 51 tahun telah ditahan.
Pihak berkuasa menambah bahawa kededua suspek dan barangan dirampas telah diserahkan kepada Kastam Singapura dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk siasatan lanjut.
Mereka yang didapati bersalah membeli, menjual, membawa, menghantar, menyimpan, memiliki atau berurusan dengan rokok yang tidak dibayar cukai boleh didenda sehingga 40 kali ganda jumlah duti dan cukai yang dielakkan, dipenjara sehingga enam tahun, atau kededuanya.
Kenderaan yang digunakan untuk melakukan kesalahan tersebut juga boleh dirampas.
Penggunaan vape juga adalah haram di Singapura.
Sesiapa yang ditangkap menggunakan vape boleh didenda sehingga $10,000, manakala penjual boleh didenda sehingga $200,000 dan dipenjara sehingga enam tahun.
Penyeludup pula boleh didenda sehingga $300,000 dan dipenjara sehingga sembilan tahun.
Warga asing yang ditangkap memiliki vape lebih daripada sekali boleh ditarik balik pas mereka serta dilarang masuk semula ke Singapura secara kekal.
