Dua warga Malaysia berusia 28 dan 32 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun dengan menggunakan senjata secara berkumpulan.
Dalam satu kenyataan pada 2 Mei, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan bahawa pada 18 April 2024 kira-kira 2 pagi, ia dimaklumkan mengenai kes rompakan bersenjata secara berkumpulan di sebuah kediaman di King Albert Park, berdekatan Dunearn Road.
Sekumpulan lelaki telah merompak 11 mangsa, berusia antara 25 dengan 45 tahun.
Ia melibatkan pelbagai barangan berharga, termasuk wang tunai dalam mata wang tempatan dan asing, mata wang kripto dan jam tangan jenama mewah, dengan anggaran nilai keseluruhan $4.34 juta.
Identiti lelaki terbabit telah dikenal pasti oleh pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan Divisyen Polis Clementi SPF melalui siasatan terperinci.
Siasatan lanjut mendapati kumpulan itu telah melarikan diri ke Malaysia sejurus selepas SPF dimaklumkan mengenai kes tersebut.
Dua daripada lelaki itu telah ditahan di Malaysia pada 27 dan 28 April dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mereka telah ditangkap di bawah dua waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Negara Singapura.
Kededua lelaki itu telah diserahkan kepada SPF pada 30 April.
Siasatan sedang dijalankan dan SPF sedang bekerjasama dengan PDRM dalam mengesan suspek yang lain.
Kededua mereka didakwa di mahkamah pada 2 Mei atas kesalahan merompak secara berkumpulan menggunakan senjata.
Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sehingga 24 sebatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg