Dua orang dibawa ke hospital selepas sebuah altar terbakar di luar flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) berhampiran Balestier Road pada awal pagi 23 Ogos.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran di Blok 112 McNair Road pada 4 pagi. Kebakaran itu melibatkan sebuah rak di luar unit di tingkat 10, kata SCDF.
Apabila pegawai tiba di lokasi, penduduk sudah memadamkan kebakaran menggunakan baldi air dan pemadam api serbuk kering, kata SCDF, lapor The Straits Times (ST).
Seorang individu dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH) dan seorang lagi ke Hospital Tan Tock Seng (TTSH).
Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Encik Shawn Loh, memuji kewaspadaan dan keberanian penduduk blok tersebut, dan menyatakan bahawa ada di antara mereka yang pergi dari pintu ke pintu untuk mengejutkan jiran mereka bagi memastikan mereka segera mengosongkan bangunan.
“Apabila saya turun pagi ini, ramai yang dalam semangat yang baik. Seorang berkata bahawa ia amat ‘bertuah mempunyai jiran yang saling menjaga’,” kata Encik Loh dalam satu pos di Facebook sekitar 11 pagi pada 23 Ogos.
“Kami akan memberi tumpuan untuk memulihkan bekalan kuasa ke separuh lagi blok ini, dan dijangka akan siap menjelang petang ini (23 Ogos),” tambahnya.
Tidak jelas berapa ramai penduduk yang terjejas oleh gangguan bekalan elektrik itu.
Majlis Perbandaran Jalan Besar dan Rangkaian Penduduk berada di lokasi untuk memberikan bantuan kepada penduduk yang memerlukan, kata Encik Loh.
Punca kebakaran masih dalam siasatan, menurut SCDF.
Majlis Perbandaran Jalan Besar dan HDB telah dihubungi untuk maklumat lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg