Tiga orang dibawa ke hospital selepas satu kebakaran berlaku pada awal pagi 22 Ogos di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Toa Payoh.
Anggota bomba menerima panggilan mengenai kebakaran di unit di tingkat 12, Blok 63 Lorong 5 Toa Payoh itu pada 2.30 pagi, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam satu kiriman Facebook.
SCDF berkata mereka terpaksa memecah masuk unit tersebut dan kebakaran yang berlaku di ruang tamu itu berjaya dipadamkan menggunakan jet air.
Semasa operasi memadamkan api, anggota bomba telah menyelamatkan seorang individu yang berada di dapur.
Individu itu didapati terhidu asap dan mengalami kelecuran ringan sebelum dibawa dalam keadaan sedar ke Hospital Besar Singapura (SGH).
Dua lagi individu dari unit bersebelahan turut dibawa ke hospital – seorang ke SGH kerana sesak nafas, manakala seorang lagi dibawa ke Hospital Tan Tock Seng (TTSH) akibat kecederaan di buku lali.
Sekitar 50 penghuni blok itu dipindahkan oleh polis dan SCDF sebagai langkah berjaga-jaga, lapor The Straits Times (ST).
Menurut SCDF, siasatan awal menunjukkan kebakaran itu melibatkan alat bantuan mobiliti peribadi (PMA) yang diletakkan di ruang tamu.
Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Cai Yinzhou, dalam satu kiriman Facebook berkata beliau telah melawat lokasi kejadian pada awal 22 Ogos untuk menyelaras kerja susulan.
Beliau akan bekerjasama dengan sebuah pertubuhan akar umbi bagi menyediakan sokongan kepada isi rumah yang terjejas, tambah Encik Cai.
SCDF dalam kirimannya di Facebook mengingatkan orang ramai supaya tidak membiarkan bateri atau peranti dicas untuk tempoh lama, dan tidak meninggalkan bateri dicas semalaman tanpa pengawasan.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membeli atau menggunakan bateri tiruan.
Menurut statistik SCDF, setakat 2025, terdapat lapan kematian akibat kebakaran, satu peningkatan berbanding lima kematian pada 2024 dan tiga pada 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg