Hanya beberapa hari lepas, Cik Nurshazlinda Shamsudin, dan ibunya sibuk memilih baju pengantin untuk majlis perkahwinannya yang dirancang berlangsung pada Januari 2026.
Namun, impian untuk bergelar permaisuri sehari itu tidak kesampaian apabila Allahyarhamha Nurshazlinda, 32 tahun, dan bakal suaminya, Allahyarham Faisal Parman, 34 tahun, meninggal dunia selepas berlaku kebakaran di flat di Bukit Merah pada petang 13 Ogos.
Pada waktu kebakaran, kededua mereka berada di dalam rumah yang dimiliki salah seorang ahli keluarga Allahyarham Faisal.
Pasangan itu disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Singapura (SGH) selepas ditemui anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) di dapur rumah itu dalam keadaan tidak sedar.
Menurut sijil kematian yang dilihat Berita Harian (BH), Allahyarhamha Nurshazlinda meninggal dunia akibat lecur teruk.
Kedua-dua jenazah dikebumikan di Pusara Aman pada 14 Ogos sekitar 5 petang.
Allahyarhamha Nurshazlinda merupakan anak kedua daripada empat beradik dan dikenali oleh keluarga sebagai seorang yang mesra dan penyayang.
Ibunya, Cik Ramlah Ahmad, 56 tahun, berkata kejadian malang itu berlaku terlalu pantas, meninggalkan keluarganya dalam keadaan terkejut dan sedih.
“Saya masih terbayang wajah (Allahyarhamha) masa kami pilih baju pengantin… senyum, gembira…
“Beliau seorang yang peramah, periang, dan seorang pencinta kucing,” katanya dalam nada sebak sambil merenung gambar baju pengantin di kaca telefon bimbitnya di luar rumah mayat SGH.
Bagi adik Allahyarhamha Nurshazlinda, Encik Muhammad Shafirul Shamsudin, 31 tahun, antara kenangan terindah mereka berdua termasuk berjalan ke sekolah bersama-sama setiap hari ketika masih kecil.
“Beliau sering buat sarapan untuk kami semua… beliau seorang yang berdikari dan penyayang,” singkap Encik Shafirul.
Menurut SCDF, punca kebakaran tersebut mungkin berpunca daripada pek bateri alat pergerakan peribadi (PMD) di ruang tamu.
Sekitar 60 penghuni di blok terjejas telah dipindahkan oleh polis dan SCDF.
Orang ramai tidak seharusnya membiarkan bateri atau peranti dicas untuk tempoh yang lama, atau membiarkannya dicas tanpa pengawasan semalaman, tambah SCDF.
Dalam laporan perangkaan tahunan yang dikeluarkan pada 13 Februari, SCDF berkata kebakaran pada 2024 yang melibatkan peranti mobiliti aktif (AMD) meningkat 21.8 peratus, daripada 55 pada 2023 kepada 67 pada 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg