Dua penunggang warga Singapura yang dalam perjalanan untuk bersahur di Pagoh, Muar bersama enam lain, meninggal dunia selepas dirempuh sebuah lori kontena.
Empat lain dalam konvoi itu pula cedera parah.
Berita Harian (BH) difahamkan jenazah kededua mangsa, yang termasuk Allahyarham Mohammad Shahfiq Irman dijangka dikebumikan pada 24 Mac dan sedang menghubungi keluarganya.
Allahyarham Mohd Shahfiq, 27 tahun, merupakan pemenang rancangan adubakat Anugerah 2017.
Pemergian beliau telah disahkan oleh adiknya, Syah Riszuan, 19 tahun semasa dihubungi BH.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Ismail Dollah, memberitahu Berita Harian Malaysia, nahas dipercayai berlaku pada 3 pagi ketika lapan lelaki terbabit menunggang motosikal secara konvoi dari Singapura, untuk bersahur.
Ketika dalam perjalanan, tayar sebuah motosikal ditunggang konvoi terbabit dilaporkan pancit dan penunggangnya berhenti di Rehat dan Rawat (RnR) Yong Peng.
“Menyedari kejadian, tujuh penunggang di hadapan memberhentikan motosikal mereka dan menunggu di lorong kecemasan.
“Sejurus kemudian datang, sebuah lori kontena dari arah sama dan dipandu lelaki warga tempatan berusia 33 tahun, hilang kawalan lalu memasuki laluan kecemasan.
“Lori itu kemudian merempuh kumpulan konvoi terbabit menyebabkan dua daripada mereka maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada 23 Mac yang dilaporkan akhbar itu.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa maut manakala empat lagi cedera parah dan mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.
Pemandu lori bersama kelindan berusia 29 tahun serta seorang penunggang konvoi terbabit tidak cedera.
“Pemandu lori sudah direman tiga hari bermula hari ini (23 Mac) hingga Isnin (25 Mac) bagi membantu siasatan. Ujian air kencing terhadap pemandu lori didapati negatif,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg