Satu pencerobohan landasan berlaku di Lapangan Terbang Changi pada 28 Ogos 2024, apabila sebuah pesawat yang baru tiba masih berada di kawasan berhampiran landasan dan belum meninggalkan jalur landasan tersebut, semasa satu lagi pesawat sedang melakukan pendaratan.
Jalur landasan tersebut merangkumi tempat pesawat mendarat dan berlepas, dan kawasan di kededua hujung landasan, yang bertujuan mengurangkan risiko kerosakan, jika berlaku kejadian pesawat terkeluar dari landasan, contohnya, semasa percubaan penerbangan yang dibatalkan.
Jalur tersebut meliputi kawasan sepanjang 140 meter dari tengah landasan, termasuk laluan pesawat bersebelahan.
Ia menghubungkan landasan tersebut dengan bangunan terminal dan kemudahan lain di lapangan terbang.
Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura (TSIB), yang menjalankan siasatan terhadap insiden itu dan menerbitkan laporan pada 1 Ogos, mendapati kejadian tersebut disebabkan kegagalan pesawat kedua mengelak pendaratan, iaitu membatalkan pendaratan dan membuat satu lagi pendaratan.
Selain itu, ia disebabkan oleh pesawat pertama yang keluar dari landasan lebih perlahan daripada jangkaan.
Kededua pesawat tersebut, yang dikendalikan China Eastern Airlines, berasal dari Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Pudong di China, lapor The Straits Times (ST).
Pesawat pertama, sebuah Airbus A320-200neo, mendarat di Landasan 20R di Lapangan Terbang Changi empat saat selepas 8.12 malam pada 28 Ogos 2024.
Menyedari pesawat pertama dan kedua mungkin berada dalam jarak dekat, seorang pengawal trafik udara mengarahkan pesawat pertama supaya meninggalkan landasan tersebut dengan secepatnya.
Kru pesawat pertama kemudian membuat pusingan ke kiri menuju Laluan Teksi Keluar Pantas W7 bersebelahan, pada 47 saat selepas 8.12 malam, pada kelajuan sekitar 63 kilometer sejam, kata TSIB, sebuah jabatan di Kementerian Pengangkutan (MOT).
Pada 54 saat selepas 8.12 malam, pengawal trafik udara menerima satu amaran visual yang mengesan berlakunya satu pencerobohan landasan, menunjukkan bahawa pesawat pertama mungkin tidak dapat meninggalkan landasan pada waktunya bagi membolehkan pesawat kedua mendarat.
Namun, pengawal trafik udara tersebut membenarkan pesawat kedua, sebuah Boeing 777-300ER, mendarat di landasan tersebut pada 55 saat selepas 8.12 malam, kerana beliau menilai ekor pesawat pertama sudah melepasi tepi landasan.
Beliau turut berpendapat memandangkan pesawat pertama masih bergerak, ia akan meninggalkan landasan itu sepenuhnya, pada masa pesawat kedua berada di atas permulaan bahagian landasan yang tersedia untuk pendaratan.
Pada 19 saat selepas 8.13 malam, pengawal trafik udara tersebut mengarahkan pesawat pertama agar membelok ke kiri ke Laluan Teksi W, apabila ia masih bergerak di sepanjang laluan teksi bersebelahan landasan tersebut, tambah TSIB.
Tidak lama selepas itu, pada 25 saat selepas 8.13 malam, pengawal trafik udara tersebut mengarahkan pesawat kedua agar mengelak pendaratan, kerana beliau menilai pesawat pertama mungkin tidak dapat meninggalkan landasan pada waktunya.
Bagaimanapun, kru pesawat kedua tidak mengesahkan arahan beliau dan meneruskan pendaratan.
Pesawat tersebut mendarat pada 38 saat selepas 8.13 malam.
Mereka kemudian berkata mereka tidak mendengar arahan tersebut.
Tiada kecederaan atau kerosakan berlaku, dan kededua pesawat kemudian bergerak ke tempat letak pesawat yang ditetapkan.
Pasukan siasatan percaya kru pesawat kedua tidak mendengar arahan pengawal trafik udara tersebut.
TSIB turut mendapati pengawal trafik udara telah mematuhi prosedur yang ditetapkan penyedia khidmat trafik udara, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), dalam membenarkan sebuah pesawat membuat pendaratan apabila terdapat “jaminan munasabah” ia akan berada dalam jarak selamat dari pesawat lain.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg