Seorang remaja berusia 15 tahun telah ditangkap berhubung ancaman bom palsu yang dibuat di Sekolah Menengah Xinmin di Hougang.

Ancaman bom itu dibuat di sekolah tersebut pada pagi 13 Ogos sehingga menyebabkan pelajar dan kakitangan sekolah dipindahkan keluar dari premis.

Polis dan kakitangan sekolah kemudian menjalankan pemeriksaan menyeluruh di kawasan sekolah, namun tiada barangan mencurigakan ditemukan.

Menjawab pertanyaan The Straits Times pada 18 Ogos, polis berkata seorang remaja berusia 15 tahun telah diberkas berhubung kes tersebut.

Siasatan berhubung kes menyampaikan maklumat palsu mengenai sesuatu yang boleh mendatangkan bahaya itu masih dijalankan.

Jika sabit kesalahan, remaja itu boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda sehingga $50,000, atau kedua-duanya sekali.

Polis berkata pihaknya memandang serius semua ancaman keselamatan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang dengan sengaja menyampaikan maklumat palsu mengenai ancaman bom.

Dalam kes berasingan, polis menahan seorang remaja yang didakwa membuat dakwaan palsu bahawa dua rakannya membawa bom dan alat pengewap di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 14 Ogos.

Warga Singapura berusia 17 tahun itu baru sahaja selesai menjalani pemeriksaan imigresen di Dewan Bas Ketibaan apabila dia didakwa menunjuk ke arah dua rakannya dan berkata mereka membawa barangan tersebut.

Demikian menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu hantaran Facebook pada 18 Ogos.

Seorang pegawai ICA berhampiran kawasan itu terdengar kenyataan tersebut lalu segera menahan ketiga-tiganya.

Mereka kemudian dirujuk untuk pemeriksaan lanjut, namun pemeriksaan mendapati mereka tidak membawa barangan seperti yang didakwa.

ICA berkata remaja itu diserahkan kepada polis sekitar 10.45 malam dan kemudian ditangkap atas kesalahan menimbulkan gangguan awam.

Siasatan polis masih dijalankan.

ICA berkata keselamatan di pusat pemeriksaan Singapura merupakan keutamaan utama dan semua laporan berkaitan ancaman keselamatan atau barangan seludup dipandang serius.

“Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat dakwaan palsu atau mengelirukan sehingga menimbulkan kebimbangan yang tidak perlu dalam kalangan orang ramai,” katanya.

ICA turut mengingatkan pengembara supaya mematuhi peraturan, berkelakuan tertib dan mematuhi arahan pegawai ketika menggunakan pusat pemeriksaan.