Topik diikuti
Pergi ke BHkuLelaki didakwa buat ancaman bom palsu kepada PMO, HTX
Lelaki didakwa buat ancaman bom palsu kepada PMO, HTX
Lelaki didakwa buat ancaman bom palsu kepada PMO, HTX
Seorang lelaki telah menghantar ancaman bom palsu tanpa memberi namanya dalam dua kejadian berasingan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX).
Koh Jye Shyang, 40 tahun, didakwa menghantar ancaman berkenaan pada 3 Julai dan 6 Julai, sebelum ditangkap dua hari selepas dia membuat ancaman kedua tersebut.
Pada 9 Julai, Koh dikenakan dua tuduhan kerana menyampaikan maklumat palsu mengenai ancaman bom bagi kedua-dua kejadian itu.
Semasa hadir di mahkamah menerusi pautan video, Koh mendakwa pakar keselamatan siber, Encik Dario Amodei, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma kecerdasan buatan (AI), Anthropic, dalam perjalanan dari San Francisco untuk membantu memeriksa jika terdapat sebarang masalah pada komputernya.
Koh akan terus direman selama seminggu lagi kerana pihak pendakwaan menyatakan siasatan masih dijalankan.
Dia dijadualkan kembali ke mahkamah pada 16 Julai.
Polis, dalam satu kenyataan pada 8 Julai, berkata HTX telah menerima satu borang dalam talian pada 3 Julai, yang mendakwa sebutir bom telah diletakkan di dalam bangunan HTX.
Agensi berkenaan berkongsi bangunan pejabat sama dengan Mediacorp di 1 Stars Avenue.
Pegawai polis telah memeriksa bangunan tersebut, namun tidak menemui sebarang barangan yang mencurigakan.
Kertas pertuduhan menunjukkan pada 6 Julai, PMO telah menerima e-mel tanpa nama yang mendakwa sebutir bom telah diletakkan di dalam Bangunan Parlimen.
Pihak polis berkata mereka dimaklumkan mengenai e-mel tersebut pada 7 Julai, lalu menjalankan pemeriksaan menyeluruh di bangunan itu, dan sekali lagi mengesahkan tiada bahan letupan ditemui di sana.
Mereka memaklumkan pada 8 Julai bahawa pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan Divisyen Polis Central mendapati ancaman berkenaan telah dihantar individu yang sama.
Menyusuli penahanan Koh, pihak polis merampas beberapa peranti elektronik yang dipercayai telah digunakan untuk membuat ancaman palsu tersebut.
Individu yang disabitkan kesalahan menyampaikan maklumat palsu seperti membuat ancaman bom palsu, boleh dipenjarakan sehingga tujuh tahun, didenda sehingga $50,000, atau kedua-duanya sekali.
Dalam satu kenyataan, pihak polis memberi amaran terhadap sebarang perbuatan yang boleh menggugat ketenteraman awam, dengan menegaskan:
“Pihak polis memandang serius semua ancaman keselamatan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang menimbulkan kebimbangan awam dengan ancaman palsu.
“Perbuatan sedemikian boleh mencetus keresahan dalam kalangan masyarakat serta membazirkan sumber awam yang berharga demi menjalankan siasatan.”
