Topik diikuti
Pergi ke BHku2 siswa manfaat teknologi tingkat ketelusan ibadah korban
2 siswa manfaat teknologi tingkat ketelusan ibadah korban
Wadah digital tawar gambar, maklumat terkini proses korban, terima sijil elektronik dalam tempoh 24 jam selepas tamat agihan
2 siswa manfaat teknologi tingkat ketelusan ibadah korban
Dua mahasiswa universiti tempatan memanfaatkan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) untuk membawa pembaharuan dalam pelaksanaan ibadah korban, akikah dan sedekah menerusi wadah digital dikenali sebagai RawdaX.
Diasaskan pelajar Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), Encik Muhammad Hakeem Muhammad Kamil, 22 tahun, bersama pelajar Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Muhammad Izz Ryanshah Nor Azam, 24 tahun, wadah tersebut bertujuan meningkatkan ketelusan, kejelasan dan kecekapan dalam pengurusan ibadah berasaskan ternakan.
Encik Izz berkata minatnya terhadap teknologi sejak kecil mendorong beliau mencari cara menggunakan AI dan sistem digital untuk memberi manfaat kepada masyarakat Islam.
“Saya sentiasa fikir bagaimana kemahiran dalam teknologi boleh digunakan untuk membantu masyarakat sebagai seorang Muslim.
“Apabila Hakeem timbulkan idea ini, saya rasa ia sesuatu yang realistik dan boleh membawa manfaat sebenar,” katanya.
Anak kedua empat beradik itu berkata ibunya bekerja sebagai guru manakala bapanya seorang pekerja bebas.
Bagi Encik Hakeem pula, pengalaman mengurus jualan haiwan korban dan melawat ladang ternakan di Indonesia membuka matanya terhadap pelbagai cabaran dalam industri berkenaan.
“Saya nampak banyak proses masih dilakukan secara manual. Ada pelanggan tunggu lama untuk dapat kemas kini, kurang ketelusan dan ada isu pengurusan apabila jumlah korban terlalu besar,” katanya.
Anak sulung lima beradik itu berkata keadaan sedemikian mendorong mereka membangunkan satu sistem yang bukan sahaja mampu mengurus jumlah tempahan besar, malah mengekalkan mutu dan amanah dalam pelaksanaan ibadah.
Idea RawdaX mula dibangunkan selepas kedua-duanya bertemu ketika di maktab rendah dan berkongsi minat yang sama dalam teknologi serta keusahawanan sosial.
Mereka kemudian mula mengkaji bagaimana teknologi boleh digunakan untuk memperbaiki pengalaman pengguna dalam pelaksanaan ibadah korban dan akikah, khususnya, apabila ia dilakukan di luar negara.
Antara ciri utama RawdaX ialah penjejakan digital secara langsung, gambar peribadi proses korban dan sijil elektronik yang dihantar kepada pelanggan dalam tempoh 24 jam selepas proses pengagihan selesai dilakukan.
Menurut Encik Izz, pengguna juga boleh melihat perkembangan proses korban secara masa nyata menerusi portal khas, termasuk peringkat penyembelihan dan pengagihan daging.
“Kami mahu pelanggan bukan sekadar membuat pembayaran, tetapi benar-benar rasai pengalaman ibadah itu walaupun dilakukan di luar negara,” katanya.
Di samping itu, wadah berkenaan turut dilengkapi aplikasi khas untuk rakan ladang dan pekerja penyembelihan bagi memastikan setiap proses direkod secara sistematik, termasuk pengambilan gambar sebelum dan selepas penyembelihan.
Menurut Encik Hakeem, sistem tersebut membantu mengurangkan jurang antara pelanggan di Singapura dengan proses pelaksanaan korban yang berlaku di negara lain seperti Indonesia dan Maghribi.
“Kami mahu pengguna rasa lebih dekat dengan ibadah yang mereka lakukan. Walaupun mereka tidak berada di sana secara fizikal, mereka masih dapat melihat prosesnya dengan jelas dan teratur,” katanya.
Bagi memastikan operasi mematuhi syariah, RawdaX turut bekerjasama dengan asatizah termasuk Ustaz Muhammad Haziq Zainal, yang berperanan sebagai penasihat dan wakil pemantau di lapangan.
Walaupun masih bergelar pelajar sepenuh masa, kedua-duanya mengakui cabaran terbesar ialah mengimbangi pelajaran dan pembangunan projek pemula atau start-up tersebut.
“Kami perlu utamakan peperiksaan dahulu sebelum melancarkan kempen korban sepenuhnya tahun ini (2026),” kata Encik Hakeem.
RawdaX mula diuji menerusi projek perintis pada Ramadan lalu di Medan, Indonesia, melalui kempen penyediaan pek makanan iftar kepada golongan memerlukan.
Platform itu kini mempunyai hampir 100 anggota terdiri daripada keluarga, rakan dan kenalan terdekat.
Selain Indonesia, RawdaX turut mempunyai operasi di Maghribi melalui rangkaian sedia ada yang dibina pengasasnya.
Dalam jangka panjang, mereka berharap dapat mengembangkan wadah itu kepada sektor penternakan dan pelaburan ternakan dengan penggunaan teknologi AI dan sistem analitik digital.
“Kami mahu masyarakat lebih yakin dan tenang hati apabila melaksanakan ibadah seperti korban dan akikah.
“Pada masa sama, kami harap teknologi boleh digunakan untuk membawa lebih banyak kebaikan kepada masyarakat,” kata Encik Izz.
