Satu kawasan tanah yang panjang dan sempit dengan tanah berwarna jingga di Lake Vista, Hu Ching Road, kini telah berubah menjadi taman hijau yang dipenuhi rumput, pokok renek, anak pokok dan kebun masyarakat.
Taman sepanjang kira-kira 200 meter itu kini menjadi tempat tinggal bagi pelbagai burung dan rama-rama.
Taman Damai, yang dibuka pada 3 Ogos 2024, merupakan salah satu daripada dua taman sementara yang terletak di Taman Jurong.
Taman Jurong Oasis, yang terletak di kawasan padang rumput kecil dan berhubung dengan Taman Jurong Greens di Yung An Road, dibuka pada 9 November 2024.
Kedua-dua taman itu adalah sebahagian daripada sekurang-kurangnya 25 taman sementara lain di seluruh Singapura.
Pakar mengatakan taman sementara dapat membantu membawa manfaat kehijauan lebih dekat kepada penduduk kawasan kejiranan, lapor The Straits Times (ST).
Taman sementara adalah ruang hijau yang dibangunkan di tanah kosong yang tiada rancangan pembangunan segera, kata Lembaga Taman Negara (NParks).
Beberapa taman sementara seperti Taman Damai dan Taman Jurong Oasis merupakan inisiatif yang dimulakan oleh organisasi akar umbi.
Sementara pihak berkuasa membangunkan kawasan itu, sukarelawan penduduk menyumbang dalam penyelenggaraan, contohnya, kebun masyarakat.
Konsep taman itu dimulakan oleh anggota Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Taman Jurong dan kumpulan minat khusus, Green@Heart, pada 2021, melalui perbincangan melibatkan penduduk dan wakil NParks.
Jurucakap CCC Taman Jurong, berkata:
“Matlamat utama adalah untuk melibatkan masyarakat dalam menghargai ruang hijau.
“Ia juga merupakan ruang penduduk berkumpul untuk kegiatan dan menikmati manfaat alam semula jadi di depan rumah mereka.”
Taman Damai mempunyai ruang yang membolehkan penduduk menyewa plot untuk menanam tumbuhan dan sayur-sayuran mereka sendiri, serta kebun masyarakat yang membolehkan orang ramai menanam flora yang sama untuk dikongsi.
Dengan tumbuhan berbuah seperti samrong (Sterculia parviflora) dan ardisia pantai (Ardisia elliptica), taman itu telah menarik fauna seperti burung enggang pied oriental (Anthracoceros albirostris) dan rama-rama harlequin (Taxila haquinus haquinus).
Sorotan utama taman sementara Taman Jurong Oasis pula adalah laluan pejalan kaki yang diperbuat daripada asfalt berpori.
Ia menggabungkan bitumen (bahan melekit yang kalis air) dan granit untuk mencipta permukaan jalan yang fleksibel dengan banyak ruang udara.
Ruang itu menyimpan dan memurnikan air dalam kerikil saliran, yang membantu mengurangkan risiko banjir.
Taman itu juga direka dengan sistem saliran alami, yang membolehkan air hujan disalurkan dan dibersihkan melalui saluran cetek yang dipenuhi tumbuhan dan batu kecil.
Pokok-pokok yang terdapat di taman itu termasuk holly paya (Ilex cymosa), gutta putih (Palaquium obovatum) dan manggis pantai (Garcinia celebica).
“Berbeza dengan taman biasa, konsepnya adalah untuk membiarkan taman ini kekal semula jadi sambil membiarkan tumbuhan tumbuh secara semula jadi, supaya penduduk dapat menikmati manfaat alam dan turut serta dalam kegiatan yang dikendalikan oleh masyarakat seperti jalan berpandu dan memerhatikan burung,” kata jurucakap itu.
Walaupun ruang hijau ini bersifat sementara, pembekal landskap seperti Chop Ching Hin melihat nilai dalam menyediakan tumbuhan untuk daya usaha seperti itu.
Encik Zac Toh, pengasas perusahaan sosial Chop Ching Hin, City Sprouts, berkata:
“Berdasarkan pengalaman kami dalam memulakan City Sprouts, saya telah melihat bagaimana taman-taman ini mampu menyatukan pelbagai individu dalam ruang hijau.
“Daripada perspektif psikologi dan mental, ruang taman ini memberikan tempat perlindungan serta daya ketahanan untuk membantu individu berkembang dalam bandar yang bergerak pantas ini.”
Satu kajian yang diterbitkan pada 2024 oleh Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) mendapati “lebih 70 peratus responden menyatakan mereka tidak keberatan jika ada lebih banyak alam semula jadi di kawasan kejiranan mereka, walaupun mereka menyatakan jumlah alam semula jadi yang ada kini sudah memadai.”
Taman sementara berfungsi sebagai langkah pertama yang baik untuk menukar persepsi orang terhadap landskap lebih liar – untuk menerima alam semula jadi dan hidupan liar seadanya, kata Perunding Utama Biodiversiti NTU, Dr Ngo Kang Min, yang turut terlibat dalam kajian itu.
“Ini adalah langkah pertama untuk membuat orang selesa dengan alam semula jadi yang lebih daripada sekadar rumput.
“Saya percaya apabila pokok-pokok tumbuh, kesan penyejukan akan menjadi lebih besar, dan orang akan merasakannya dari masa ke masa,” tambah beliau.
Di Taman Jurong Oasis yang lebih baru, Encik Tian Lai, 75 tahun, penduduk yang telah tinggal lebih 20 tahun di situ, berkata:
“Ia lebih cantik dengan penambahan pokok dan tumbuhan baru di taman sementara yang diperluas, tetapi ia tidak menjadi lebih berangin.
“Sekurang-kurangnya ia tidak menyusahkan saya – tiada masalah serangga, jadi itu sangat baik.”
“
“Matlamat utama adalah untuk melibatkan masyarakat dalam menghargai ruang hijau. Ia juga merupakan ruang penduduk berkumpul untuk kegiatan dan menikmati manfaat alam semula jadi di depan rumah mereka.”“
“Ini adalah langkah pertama untuk membuat orang selesa dengan alam semula jadi yang lebih daripada sekadar rumput. Saya percaya apabila pokok-pokok tumbuh, kesan penyejukan akan menjadi lebih besar, dan orang akan merasakannya dari masa ke masa.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg