Pengunjung ke Taman Pek Kio yang baru dibuka akan dapat berlari-lari anak di laluan khas sepanjang 230 meter yang disediakan atas permintaan penduduk yang tinggal berdekatan.
Permintaan itu dibuat menerusi pelbagai sesi pendampingan di dalam dan luar talian yang diadakan untuk penduduk Pek Kio berkongsi idea mengenai cara taman itu boleh membangunkan semangat kemasyarakatan dan mengatasi perubahan iklim.
Lebih 200 saranan diterima dengan ada yang disertakan dalam reka bentuk taman itu seperti laluan berjalan kaki yang dibuat menggunakan bahan yang dikitar semula seperti kerikil sungai dan kayu balak.
Taman seluas 0.5 hektar itu dibuka oleh Lembaga Taman Negara (NParks) pada 18 Januari.
Ia terletak di antara pembangunan perumahan sedia ada dan akan datang di sepanjang Cambridge Road, berdekatan kawasan Little India.
Taman itu menyediakan pelbagai tawaran rekreasi berasaskan alam semula jadi untuk penduduk yang tinggal berdekatan dan menyumbang ke arah menjadikan setiap isi rumah di Singapura terletak 10 minit berjalan kaki dari taman menjelang 2030, kata NParks dalam kenyataannya.
Di Taman Pek Kio, pengunjung boleh menikmati manfaat tumbuh-tumbuhan hijau di taman terapeutik sebesar sekitar 1,300 meter persegi. Ini adalah taman terapeutik ke-17 NParks di Singapura.
Di taman terapeutik itu, kanak-kanak boleh bermain dengan unsur semula jadi seperti pasir, kayu dan tunggul balak yang dikelilingi kehijauan.
Bermain dalam sekitaran itu dipercayai dapat memperdalamkan hubungan kanak-kanak dengan alam semula jadi.
Taman terapeutik itu juga dilengkapi gelanggang bermain petanque bagi menggalak pergerakan dan kegiatan fizikal dalam kalangan warga emas.
Dalam permainan petanque, pemain perlu melontarkan bola logam seberapa dekat yang mampu ke sebiji bola kayu yang lebih kecil.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg