Takungan Perkhidmatan Air Tengah atau Tengah Service Reservoir (TSR), bakal mula beroperasi menjelang hujung 2026 bagi memenuhi keperluan air sekitar 42,000 isi rumah serta pembangunan perindustrian di Tengah.

Kemudahan bernilai sekitar $120 juta itu adalah tambahan terbaharu kepada rangkaian prasarana air Singapura bagi memastikan bekalan air negara ini kekal andal dan berdaya tahan, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong.

Beliau berkata demikian semasa acara pelancaran Minggu Air Antarabangsa Singapura (SIWW) di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 16 Jun.

Sambil menyifatkan cabaran air bukan sekadar satu teori bagi Singapura, Encik Gan berkata perubahan iklim dijangka membawa cuaca yang lebih ekstrem.

“Cabaran ini bukan sekadar satu teori bagi Singapura. Kita sebuah negara pulau yang kecil dengan sumber air semula jadi yang terhad. Perubahan iklim juga dijangka membawa cuaca yang lebih ekstrem, dengan musim yang semakin kering dan musim hujan yang semakin lebat.

“Dalam jangka panjang, hampir satu pertiga Singapura berisiko terjejas akibat banjir pesisir yang berpunca daripada kenaikan paras laut sekiranya tiada tindakan diambil,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau menambah bahawa ekonomi Singapura memerlukan lebih banyak air memandangkan sebahagian sektor yang pesat membangun seperti semikonduktor dan pusat data menggunakan banyak air.

“Justeru, kita perlu bertindak dengan segera. Namun, pada masa yang sama, kita juga perlu merancang dengan berpandangan jauh,” kata Encik Gan.

Dengan itu, hampir $100 juta juga akan disalurkan bagi menyokong penyelidikan dan pembangunan penyelesaian air untuk kawasan bandar dan sektor perindustrian, termasuk penubuhan sebuah kemudahan penyelidikan bagi teknologi rawatan air terpakai.

Encik Gan menjelaskan keselamatan bekalan air memerlukan pelaburan berterusan dan perancangan jangka panjang, dan tidak boleh hanya dibangunkan apabila krisis berlaku.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, semasa acara pelancaran Minggu Air Antarabangsa Singapura (SIWW) di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 16 Jun.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, semasa acara pelancaran Minggu Air Antarabangsa Singapura (SIWW) di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 16 Jun. - Foto ST

“Strategi ini telah memberi manfaat kepada Singapura selama ini, namun kita tidak boleh berasa selesa. Kita perlu terus melabur dalam prasarana air bagi menyokong pertumbuhan penduduk dan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian sedang dunia berdepan cabaran air yang semakin meruncing.

Pada Januari 2026, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan amaran bahawa dunia sedang berdepan krisis sumber air global, dengan sekitar empat bilion penduduk mengalami kekurangan air yang teruk sekurang-kurangnya sebulan setiap tahun.

Menggunakan pembinaan TSR sebagai contoh, takungan perkhidmatan air itu menstabilkan bekalan air dengan bertindak sebagai penampan terhadap turun naik penggunaan harian, khususnya ketika waktu puncak atau semasa gangguan tidak dijangka, kata PUB.

TSR, yang selesai dibina pada November 2025, dan dibangunkan hasil kerjasama antara PUB dengan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB). Ia terletak sekitar 40 meter di atas paras laut di Bukit Batok, iaitu kawasan tertinggi di kawasan itu.

Kedudukan tersebut membolehkan air disalurkan ke kawasan perumahan dan perniagaan secara semulajadi, tanpa memerlukan pam tambahan, kata PUB.

Seperti sebuah “botol air” gergasi, TSR menyimpan air minuman yang telah dirawat sebelum disalurkan kepada pengguna.

Perkara ini berbeza daripada takungan tadahan air seperti MacRitchie dan Bedok yang mengumpul air hujan sebelum dirawat.

Sebaliknya, takungan perkhidmatan menyimpan air yang telah dirawat dan sedia untuk diagihkan.

Kini terdapat lebih 10 takungan perkhidmatan air di serata Singapura, dengan yang terbaharu terletak di Bidadari yang mula beroperasi pada 2024 di tapak bekas Kolumbarium Mount Vernon.

TSR dilengkapi dua tangki dengan kapasiti gabungan bersamaan kira-kira 22 kolam renang Olimpik.

Operasi TSR dipantau sepanjang masa menerusi sistem pusat yang mampu mengesan perubahan dalam permintaan atau bekalan secara masa nyata.

Sistem itu turut mengeluarkan amaran automatik bagi membolehkan tindakan segera diambil apabila diperlukan, tambah PUB.

Dari segi pembinaan, TSR menjadi takungan perkhidmatan air pertama di Singapura yang dibina menggunakan kaedah “slipform”, iaitu proses menuang konkrit secara berterusan selama 24 jam sehari bagi membentuk dinding tangki bulat tanpa sambungan.

Kaedah itu membantu mengurangkan risiko kebocoran dan meningkatkan prestasi keseluruhan kemudahan tersebut, kata PUB.

Selaras dengan identiti Tengah sebagai “bandar hutan”, dinding luar tangki dilengkapi sirip aluminium berwarna coklat gelap yang membolehkan struktur itu menyatu dengan landskap sekeliling.

Sepanjang pembinaannya, PUB berkata mereka melaksanakan pelbagai langkah perlindungan alam sekitar termasuk pemindahan hidupan liar sebelum kerja pembersihan tapak, pemeriksaan kawasan sarang burung serta pelan pengurusan pencahayaan bagi mengurangkan gangguan terhadap biodiversiti setempat.

PUB menjangkakan permintaan air Singapura akan terus meningkat sejajar dengan pertumbuhan penduduk, pembangunan bandar dan peluasan sektor perindustrian.

Justeru, agensi itu akan terus melabur dalam prasarana bekalan air bagi memastikan sistem bekalan negara kekal andal dan berdaya tahan untuk memenuhi keperluan jangka panjang.

Ini dengan suntikan dana sebanyak $85 juta bagi memperkukuh keselamatan dan kemampanan bekalan air Singapura menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bawah Penyelidikan, Inovasi dan Perusahaan 2030 (RIE2030).

PUB berkata dalam satu kenyataan sebahagian daripada dana itu akan digunakan untuk menubuhkan sebuah kemudahan penyelidikan baharu yang memanfaatkan air terpakai bagi menjana lebih banyak tenaga daripada jumlah tenaga yang digunakan, sekali gus membolehkannya menghasilkan bekalan elektrik sendiri.

Sebanyak $12 juta turut diumumkan bagi menyokong penyelidikan dan pembangunan penyelesaian air untuk sektor perindustrian di bawah pelan tersebut.

Peruntukan baharu itu melanjutkan usaha yang dimulakan di bawah RIE2025, yang memperuntukkan $74 juta antara 2021 dengan 2025 bagi membangunkan teknologi seperti penyahgaraman air dan rawatan air terpakai.

Menurut Encik Gan, Singapura bukan sahaja mahu memenuhi keperluan domestiknya, malah berhasrat membangunkan penyelesaian yang boleh dimanfaatkan oleh bandar dan industri di seluruh dunia.

“Jika kita dapat membantu sektor perindustrian mengurangkan penggunaan, menggunakan semula dan mengitar semula air dengan lebih berkesan, ia bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi, malah menggalakkan kelestarian alam sekitar,” katanya.