Dua kereta api baru pertama bagi LRT Sengkang-Punggol telah diserahkan kepada pengendali kereta api SBS Transit sebelum memulakan khidmat tersebut pada suku ketiga 2025.
Dalam kemas kini video yang disiarkan di Facebook pada 9 Mei, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata selepas kededua gerabak itu diangkut dari pelabuhan ke depoh LRT Sengkang pada Disember 2024, ia telah dialih ke landasan dan digabungkan menjadi kereta api dua gerabak.
Kededua tren itu, kata LTA, telah menjalani ujian ketat sebagai persediaan sebelum memulakan perkhidmatan penumpang.
SBS Transit sedang menjalankan ujian akhir pada tren tersebut, tambah LTA.
Kededua kereta api itu adalah antara 25 kereta api dua gerabak baru yang dibawa oleh pihak berkuasa untuk menampung permintaan penumpang yang kian meningkat di Sengkang dan Punggol.
Kereta api itu dibuat oleh syarikat, Mitsubishi Heavy Industries, dari Jepun, lapor The Straits Times.
Sebanyak 17 daripada kereta api baru itu, yang ditempah pada 2022, dijadual dihantar secara berperingkat dari 2024 hingga 2027.
Baki lapan kereta api, yang ditempah pada 2023, akan tiba di Singapura mulai separuh kedua 2027.
Dalam satu hantaran Facebook berasingan pada 9 Mei, SBS Transit memaklumkan bahawa baki 23 kereta api dua gerabak baru itu akan mula beroperasi secara berkelompok selepas suku ketiga 2025.
Ia menambah kereta api baru itu akan menggantikan kereta api satu gerabak sedia ada secara berperingkat untuk memenuhi permintaan pengangkutan awam yang semakin meningkat di sini.
Pada masa ini, LRT Sengkang-Punggol mempunyai 16 kereta api dua gerabak dan 25 kereta api satu gerabak.
Tempahan awal sebanyak 17 kereta api dua gerabak akan menggantikan 25 kereta api satu gerabak sedia ada.
Tempahan kemudian bagi lapan lagi kereta api dua gerabak akan menggantikan separuh daripada 16 kereta api dua gerabak sedia ada.
Dengan bekalan kereta api baru itu, rangkaian LRT Sengkang-Punggol akhirnya akan mempunyai 33 kereta api dua gerabak.
Setiap gerabak kereta api baru boleh menampung 105 penumpang.
Antara ciri kereta api baru itu termasuk lampu LED cekap tenaga, jalur cahaya untuk memberi amaran kepada penumpang tentang pintu yang akan ditutup, unit pendingin hawa yang dipasang di bumbung, dan tempat duduk dengan rekaan baru.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg