Dua warga Singapura yang cuba mendaki Gunung Mat Cincang, puncak kedua tertinggi di pulau Langkawi, hilang sebelum ditemui hampir 15 jam selepas mereka memulakan pendakian mereka.
Encik Wang Cheng Kang, 23 tahun, dan Encik Li Shuen Qi, 25 tahun, memulakan pendakian mereka di gunung itu sekitar tengah hari pada 29 Disember.
Sejurus sebelum 10.30 malam pada 29 Disember, bomba dan penyelamat Padang Matsirat menerima panggilan untuk meminta bantuan.
Sepasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota bomba, pegawai polis, pasukan pertahanan awam dan perancang pelancongan tempatan, Kembara Langkawi berkumpul untuk mencari dua pendaki yang hilang.
Sebelum 3 pagi pada 30 Disember, dua pendaki itu ditemui oleh pasukan penyelamat.
Kededuanya diiringi pasukan penyelamat menuruni gunung dan mereka selamat tiba di pangkalan gunung itu kira-kira 4.35 pagi.
Encik Shaiful Asraf, pengasas Kembara Langkawi, memberitahu The Straits Times (ST) bahawa sekitar 15 anggota penyelamat terbabit.
Kededua pendaki sedang tidur apabila ditemui pasukan penyelamat, berhampiran laluan trek pendakian Gunung Mat Cincang.
Dua pendaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan namun mengalami kekejangan otot kecil akibat keletihan.
Encik Shaiful menambah bahawa mereka mungkin sesat kerana mereka tidak mempunyai peralatan seperti lampu depan atau lampu untuk membantu pendakian mereka.
“Mendaki dan menuruni Gunung Mat Cincang setinggi 709 meter biasanya mengambil masa enam hingga tujuh jam,” tambahnya yang pernah merancang lawatan kembara untuk pelancong luar negara termasuk dari Russia dan Australia.
Encik Shaiful menasihatkan para pelancong, terutamanya pendaki yang baru, untuk menempah pemandu pelancong jika hendak mendaki gunung, seperti Gunung Raya, puncak tertinggi di Langkawi dengan ketinggian 881 meter.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg