Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerjakan umrah ‘DIY’ dua kali, turut uruskan tempahan kawan sekeluarga

Dec 22, 2024 | 5:47 PM
Cik Nazlin Hilal mengerjakan umrah ‘DIY’ bersama suaminya, Encik Shahrin Yem (kiri), dan anak bongsu mereka, Danish. Mereka bergambar di gunung tertinggi dan terbesar di Madinah, Jabal Uhud. 
Cik Nazlin Hilal mengerjakan umrah ‘DIY’ bersama suaminya, Encik Shahrin Yem (kiri), dan anak bongsu mereka, Danish. Mereka bergambar di gunung tertinggi dan terbesar di Madinah, Jabal Uhud.  - Foto ihsan NAZLIN HILAL

Usahawan dan jurudandan Nazlin Hilal sudah biasa merancang percutian keluarga ke Eropah dengan membuat tempahan penerbangan dan penginapan sendiri tanpa mengikuti rombongan agensi pelancongan.

Cara ‘urus sendiri, atau ‘DIY’, itu lebih mudah dan selesa buat Cik Nazlin dan suaminya, Encik Shahrin Yem, kededuanya 46 tahun, hinggakan mereka memilih kaedah ‘DIY’ untuk mengerjakan umrah bersama anak mereka, Danish, 14 tahun, dan Encik Danial, 19 tahun.

Mereka mengerjakan umrah ‘DIY’ pada September 2023 selepas mendapatkan khidmat mutawif (jurupandu) setelah menonton ‘Instagram Story’ selebriti televisyen dan penggiat seni Marina Yusof.

Apabila Cik Nazlin mengerjakan umrah sekali lagi bersama suaminya serta Danish dan dua sahabat karibnya serta keluarga mereka secara ‘DIY’ pada 25 November, beliau mendapatkan khidmat mutawaif yang sama.

Encik Danial tidak ikut serta kerana bersekolah di Politeknik Ngee Ann.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Cik Nazlin, yang sedang menyambung percutian ke Norway, Sweden, Jerman dan Belanda selepas mengerjakan umrah selama 10 hari, berkata:

“Kami sebenarnya enggan terikat pada jadual perjalanan tetap dan kumpulan jemaah besar. Lebih mudah dan seronok merancang sendiri, baik percutian santai ke Eropah atau ke Makkah dan Madinah untuk mengerjakan ibadah.

“Lebih seronok kerana dua teman rapat saya dari sekolah menengah ikut serta dalam umrah ‘DIY’ kali ini.

“Kami bersahabat selama 33 tahun. Bagi saya, menunaikan umrah bersama adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan.

“Mereka beri 100 peratus kepercayaan kepada saya dan suami saya untuk merancang perjalanan dan menempah segalanya. Mohon visa pun lancar.

“Alhamdulillah, kami tolong-menolong dan pupuk kesabaran sewaktu mengerjakan umrah.”

Menurut Cik Nazlin lagi, tiada masalah bagi mereka mengemudi perjalanan umrah itu sendiri sebab semua kemudahan pengangkutan, daripada kereta sewa Uber dan kereta api berkelajuan tinggi, menyenangkan perjalanan ke sana sini.

Beliau juga berasa adalah baik untuk ibu bapa muda membawa anak mereka, yang kecil mahupun remaja, menunaikan umrah sebagai satu pendedahan.

“Saya berharap ibu bapa akan merebut peluang musim percutian Jun atau November dan Disember untuk membawa anak-anak mengerjakan umrah.

“Bagi saya, secara peribadi, apabila dapat membawa anak-anak ke Makkah dan Madinah pada usia remaja, harapan saya ialah ia menjadi pembuka jalan untuk mereka lebih dekat dengan agama.

“Lebih-lebih lagi apabila kita berziarah ke tempat-tempat suci lagi bermakna dalam sejarah Islam, anak-anak dapat sama-sama dengar mengenai perjuangan Nabi Muhammad saw dan para nabi lain serta mengetahui tentang kekayaan sejarah Islam,” katanya, yang bercuti selama 30 hari selepas sepanjang tahun sibuk dengan tugas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg