Seramai 20 orang dipindahkan selepas satu kebakaran berlaku di sebuah unit kediaman di tingkat 21 di People’s Park Complex, Chinatown, pada 4 Januari.
Dalam satu catatan Facebook pada 4 Januari, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran di ruang tamu flat tersebut di 1 Park Road pada 1.55 petang.
SCDF menambah bahawa anggota bomba memasuki unit berkenaan dan memadamkan kebakaran menggunakan dua pancutan air.
Tiada sesiapa berada di dalam flat itu ketika kejadian dan tiada kecederaan dilaporkan, menurut kenyataan tersebut.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.
Gambar yang tersebar di wadah media sosial, Xiaohongshu, pada 4 Januari menunjukkan asap tebal keluar dari sebuah unit yang dijilat api.
Menurut gambar berkenaan, sekurang-kurangnya tiga jentera bomba dan sembilan kenderaan polis berada di lokasi kejadian.
Dalam catatannya, SCDF menasihatkan orang ramai supaya memadamkan bahan yang masih menyala, seperti lilin, sebelum meninggalkan rumah.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak meninggalkan masakan tanpa pengawasan, tidak membebankan soket elektrik, serta mematikan bekalan elektrik apabila tidak digunakan.
Laporan statistik tahunan SCDF yang dikeluarkan pada 13 Februari 2025 menunjukkan bahawa 968 panggilan yang diterima pada 2024 berkaitan dengan kebakaran kediaman.
Daripada jumlah tersebut, 299 kebakaran berpunca daripada masalah elektrik, manakala 335 disebabkan masakan yang ditinggalkan tanpa pengawasan, menjadikannya dua punca utama kebakaran di premis kediaman.
Jumlah kebakaran berpunca daripada masalah elektrik pada 2024 adalah 8.3 peratus lebih tinggi berbanding 2023.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg